KAJIAN RINTIS KESEDIAAN GURU PRASEKOLAH UNTUK MEMPELAJARI ILMU PEMAKANAN MELALUI PLATFORM PEMBELAJARAN DALAM TALIAN

Yi Ting Chong, Bee Koon Poh, Ruzita Abdul Talib, Denise Koh, Georgia Livan Nelson, Julia Ai Cheng Lee, Whye Lian Cheah, Cecelia A. Essau, Edward Leigh Gibson, Sue Reeves, Carolyn Summerbell

Abstract


eToyBox merupakan platform pembelajaran dalam talian untuk guru prasekolah bagi meningkatkan literasi kesihatan dan seterusnya memperbaiki tingkah laku kanak-kanak yang berkaitan obesiti. Penilaian terhadap literasi digital, penerimaan bahan pendidikan digital, dan cabaran penggunaan program pendidikan berasaskan internet diperlukan sebelum pembangunan eToyBox. Seramai 54 orang guru prasekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Kuala Lumpur, Selangor, dan Sarawak yang terlibat dalam fasa intervensi ToyBox Study Malaysia pada tahun 2018 telah menyertai kajian keratan rentas ini. Soal selidik dalam talian diedarkan untuk menilai maklumat sosiodemografi, penggunaan alat komunikasi dan media, dan pandangan guru tentang penyesuaian modul ToyBox kepada bahan pendidikan digital. Subjek telah dihubungi, dan pautan soal selidik dikongsi melalui aplikasi WhatsApp. Kebanyakan subjek (74.0%) adalah perempuan Melayu dengan umur purata 37.7 ± 7.9 tahun. Kebanyakan subjek mempunyai akses internet (94.4%) dan memiliki sekurang-kurangnya telefon pintar, komputer riba atau tablet (94.4%). Majoriti subjek (75.0%) melaporkan kecekapan penggunaan teknologi pada tahap sederhana. Jumlah 65.0% subjek menilai kemahiran mereka dalam pemproses perkataan dan emel pada tahap mahir atau lebih tinggi; namun, hanya 22.0% dilaporkan untuk kemahiran hamparan elektronik lejar. Halangan utama untuk mengakses bahan pendidikan dalam talian ialah gangguan internet (74.1%). Kebanyakan subjek (90.0%) menyokong penyesuaian modul kepada pembelajaran dalam talian dan yakin bahawa ini akan memberi manfaat terhadap pembangunan profesional dan amalan pengajaran guru prasekolah. Kesimpulannya, majoriti subjek mempunyai tahap literasi digital yang sederhana dan bersedia menjalani pembelajaran serta pengajaran dalam talian. Hasil kajian ini boleh memberi panduan kepada pembangunan bahan pembelajaran dalam talian untuk guru prasekolah di Malaysia pada masa hadapan.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


Please contact the Chief Editor for any inquiries about the journal. For any technical difficulties please contact our technical support.

 

eISSN : 2289-4535

ISSN : 1675-8161