Pencemaran Alam Sekitar dan Pendekatan Mahkamah Hijau

Haslinda Mohd Anuar, Harlida Abdul Wahab, Nurli Yaacob

Abstract


Pencemaran alam sekitar bukanlah sesuatu yang asing di mana-mana negara. Secara keseluruhannya, pencemaran berlaku sejajar dengan pembangunan yang tidak terkawal di samping pertambahan bilangan penduduk yang kian meningkat. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, isu pencemaran terus berlaku malah semakin meruncing dengan sebab dan punca yang pelbagai, sama ada akibat daripada aktiviti manusia ataupun perubahan alam. Pelepasan efluen perindustrian ke dalam perairan daratan khususnya sungai, dikenal pasti sebagai satu daripada punca utama kepada pencemaran air. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menetapkan hukuman tertentu bagi menangani permasalahan ini namun kes pencemaran perairan daratan masih terus berlaku. Artikel ini bertujuan untuk menjelaskan penubuhan dan fungsi Mahkamah Hijau di samping mengkaji pendekatan serta prosedur Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman bagi kes-kes pencemaran perairan daratan. Kaedah kualitatif melalui kajian perpustakaan dilakukan dengan disokong oleh temu bual bersama tiga orang hakim Mahkamah Hijau. Data daripada sumber sekunder dan juga temu bual dianalisa menggunakan analisis kandungan dan analitikal. Antara lain, dapatan menunjukkan bahawa kewujudan Mahkamah Hijau hanya di beberapa tempat sahaja, hukuman yang dijatuhkan oleh hakim adalah tertakluk kepada pembuktian semasa pengendalian kes, dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah syarikat adalah sama dengan pesalah individu. Dicadangkan agar kesedaran dan latihan berkaitan kepentingan alam sekitar diperluaskan kepada semua hakim-hakim, latihan pengendalian kes alam sekitar kepada pegawai pendakwa dan peruntukan yang lebih jelas serta berat dikenakan kepada pesalah syarikat. Berasaskan kepada cadangan dikemukakan diharapkan dapat mengurangkan kegiatan dan kes-kes pencemaran alam sekitar, khususnya perairan daratan.


Keywords


Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; alam sekitar; hukuman; Mahkamah Hijau; perairan daratan

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.