Pelaburan secara Pengumpulan Dana Masyarakat (crowdfunding) di Malaysia: Cadangan Penambahbaikan dalam Aspek Pengawalseliaan dan Penglibatan

Wan Amir Azlan Wan Haniff, Asma Hakimah Ab Halim, Rahmah Ismail

Abstract


Pelaburan secara pengumpulan dana masyarakat atau Crowdfunding Ekuiti (ECF) telah muncul sebagai suatu alternatif untuk Pasaran Kecil dan Sederhana (IKS) dan start-up (penerbit) bagi mengumpul dana dengan cara menjual sekuriti kepada masyarakat awam menggunakan platform berasaskan portal dalam talian (Platform ECF). Malaysia menjadi negara pertama di Asia Pasifik yang memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan untuk ECF pada tahun 2015. Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan pengendali-pengendali Platform ECF berdaftar untuk mendidik orang ramai dan usahawan terhadap pembiayaan alternatif perusahaan ini, namun pasaran ini tidak menjadi pilihan masyarakat selain berlaku penurunan dari aspek jumlah kutipan dana pada tahun 2018. Kajian ini bertujuan untuk memberi cadangan penambahbaikan dalam aspek pengawalseliaan serta penglibatan masyarakat terhadap pasaran ECF di Malaysia. Penambahbaikan ini bukan bertujuan untuk mencari mekanisme urus tadbir terbaik bagi mengembangkan pasaran ECF semata-mata, tetapi turut bertujuan untuk mengurangkan risiko pemilihan buruk (adverse selection) dan bahaya moral (moral hazard) yang dibuat oleh para pelabur selain memudahkan akses pembiayaan demi mengurangkan kekangan kewangan kepada penerbit. Penyelidikan kualitatif ini menggunakan data primer dan sekunder yang diperolehi daripada pangkalan data saintifik dan penyelidikan kepustakaan seperti garis panduan, buku-buku, artikel-artikel dan laporan mengenai ECF. Kesemua data ini dianalisis secara interpretasi undang-undang, penilaian perbandingan, sejarah dan kajian kes. Kajian ini mendapati bahawa kelonggaran pengawalseliaan sekuriti, insentif cukai, usahasama antara Pengendali Platform ECF dengan pelabur angel dan sofistikated serta kempen adalah langkah terbaik bagi menarik masyarakat negara menyertai pasaran ECF ini. Di akhir perbincangan, artikel ini menawarkan pelan tindakan masa hadapan demi memastikan pasaran ECF terus mampan.


Keywords


ECF; pengawalseliaan; cukai; usahasama; kempen; pelan tindakan

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.