Ujian Pertimbangan Situasi Menambah Baik Kaedah Pemilihan Guru Pelatih Melalui Model Quadruple Helix
Abstract
Ujian Pertimbangan Situasi (SJT) merupakan instrumen pengukuran psikologi yang menggalakkan idea dan pengetahuan bagi membolehkan membuat dan menilai keputusan dalam kalangan pihak berkepentingan berdasarkan respons calon ujian. Namun, tidak banyak perbincangan dibuat melalui Model Quadruple Helix meliputi peranan empat teras pemegang taruh utama iaitu kerajaan, universiti, industri dan masyarakat dalam menambah baik kaedah pemilihan guru pelatih. Justeru, artikel konsep ini membincangkan jangkaan peranan yang boleh dibuat dalam penambahbaikan pemilihan guru pelatih melalui teras Model Quadruple Helix. Kaedah perbincangan konsepsual ini berteraskan kepada jangkaan daripada empat pihak iaitu kerajaan, universiti, industri dan masyarakat. Nilai tambah yang boleh diperolehi daripada artikel ini ialah sinergi peranan yang dimainkan oleh keempat – empat pihak dalam Model Quadruple Helix untuk menambah baik kaedah pemilihan guru pelatih melalui SJT. Selain itu, pencambahan pengetahuan sedia ada akan berlaku melalui integrasi peranan empat pihak dan berpotensi menyumbang kepada pendekatan baharu dalam pemilihan guru pelatih. Dapatan utama kajian ini ialah pihak kerajaan berperanan memastikan SJT selaras dengan keperluan nasional dalam menilai kemahiran insaniah calon secara holistik. Pihak akademia pula berperanan memastikan kesahan, kebolehpercayaan dan item SJT dibina sesuai dengan konteks tempatan. Selain itu, pihak industri wajar menyediakan input relevan keperluan pasaran kerja masa kini. Pihak komuniti boleh memastikan SJT mencerminkan konteks sosial dan budaya setempat, menjadikan proses pemilihan bakal guru lebih relevan dengan realiti kehidupan sebenar. Dengan pelibatan komuniti, item-item SJT boleh dibangunkan untuk menilai kemampuan calon guru dalam menangani isu-isu sosial dan budaya yang unik dalam komuniti mereka. Implikasi kertas konsep ini dapat dijelmakan melalui penambahbaikan item SJT melalui pelibatan industri. Limitasi kajian ini menjelaskan variasi situasi yang terhad kepada sektor pendidikan tempatan sahaja. Justeru, kajian lanjut boleh dijalankan melalui penerokaan skop situasi perguruan yang lebih luas selaras dengan cabaran baharu dunia pendidikan yang semakin mencabar.
Keywords
Situational Judgement Test; Pemilihan Guru Pelatih; Model Quadruple Helix; Institut Pendidikan Guru
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License.
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License