Penentuan Nasab melalui Prinsip Undang-undang Keterangan Islam (Determination of Legitimacy through the Principles of Islamic Evidence Law)

Fatimah Yusro Hashim, Anisah Che Ngah, Mohammad Azhan Yahya, Ahmad Azam Mohd Shariff

Abstract


Anak tak sah taraf didefinisikan sebagai kelahiran anak hasil daripada perbuatan zina ataupun kehamilan tanpa pernikahan atau suami yang sah, tetapi bukan dari pernikahan syubhah. Terdapat keadaan di mana anak yang tidak sah taraf telah diberikan status sah taraf akibat kelemahan dalam aspek beban pembuktian serta pematuhan terhadap prinsip syariah berkaitan tempoh minima kehamilan enam bulan qamariah tersebut. Penulisan ini memfokuskan tiga objektif. Objektif pertama adalah untuk menganalisis berkaitan kelahiran anak tak sah taraf di sisi prinsip syariah. Objektif kedua adalah untuk mengenal pasti permasalahan berkaitan kelahiran anak tak sah taraf dalam perbicaraan di mahkamah, dan objektif ketiga adalah untuk mencadangkan penyelesaian kepada permasalahan yang telah dikenal pasti. Penulisan ini adalah kajian kualitatif iaitu melalui kaedah penyelidikan perpustakaan, di mana bahan-bahan yang berkaitan dengan penulisan ini telah dianalisis secara kritis. Pengkaji mendapati bahawa seksyen 110 Akta Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) sebagai contohnya, digunakan terutamanya sebagai garis panduan dalam menentukan kesahihan nasab anak dalam perbicaraan mahkamah. Walau bagaimanapun, seksyen tersebut adalah terlalu umum dan tidak berjaya dikaitkan kepada prinsip-prinsip asas dalam syarak berkaitan dengan kelahiran anak tak sah taraf dan penentuan kesahihan nasab. Pada masa yang sama prinsip keterangan Islam yang digunakan semasa perbicaraan berkaitan dengan menentukan status nasab juga tidak dapat menyokong mahkamah untuk membuat keputusan yang baik terhadap kes tersebut. Sehubungan itu pengkaji mencadangkan perlunya matan seksyen 110 ini diperincikan, serta aplikasi keterangan pakar diwajibkan penggunaannya dalam perbicaraan mahkamah bagi menyokong pembuktian terhadap kesahihan nasab anak.


Keywords


Kelahiran anak tak sah taraf; keterangan Islam; pembuktian; prinsip syariah; mahkamah syariah

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.