PENGETAHUAN DAN TINGKAH LAKU KEWANGAN DALAM KALANGAN MISKIN BANDAR

Syakirah Amni Nur Hasfazli, Zaimah Ramli

Abstract


Kemiskinan bandar kini telah menjadi masalah sosio-ekonomi yang dihadapi oleh semua negara. Mereka yang miskin dan hidup di bandar pasti menghadapi masalah kewangan dengan kos sara hidup yang tinggi. Masalah kewangan ini akan menjadi lebih serius jika mereka tidak mempunyai pengetahuan kewangan yang mencukupi. Tanpa pengetahuan kewangan yang cukup, mereka akan cenderung untuk mengamalkan tingkah laku berkaitan kewangan yang tidak baik. Justeru itu, kajian bertujuan mengukur tahap pengetahuan kewangan dan mengenalpasti tingkah laku kewangan dalam kalangan penduduk miskin bandar. Kajian ini berbentuk kuantitatif menggunakan pendekatan kaedah survei. Populasi kajian adalah penduduk miskin yang mendiami rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Muhibbah, Bukit Jalil. Kajian ini menggunakan soal selidik sebagai instrumen dan kaedah persampelan keselesaan digunakan. Seramai 100 responden terlibat dalam kajian ini. Data yang diperolehi dianalisis secara diskriptif. Hasil kajian menunjukkan bahawa responden mempunyai pengetahuan kewangan yang sederhana dalam aspek simpanan, perbelanjaan, inflasi, pelaburan, pinjaman, insurans, kad kredit dan maklumat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Selain itu, tingkah laku kewangan responden juga didapati berada pada tahap yang sederhana. Implikasi kajian menyarankan agar program-program kemasyarakatan yang dapat meningkatkan pengetahuan dan tingkah laku kewangan dalam kalangan miskin bandar perlu dilaksanakan bagi membantu mereka mengurus kewangan diri dan keluarga.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.