JENAYAH CINTA SIBER DI MALAYSIA: SUATU PENELITIAN TERHADAP PENGALAMAN MANGSA

Zulkufli Ismail, Azmi Aziz

Abstract


Ancaman jenayah cinta siber merupakan masalah pandemik yang tersebar luas dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia. Pemalsuan identiti profil menerusi saluran media sosial oleh penjenayah bagi menjalinkan hubungan cinta kepada pengguna semakin sukar dibendung. Justeru, makalah ini menerokai pengalaman individu yang menjadi mangsa jenayah cinta siber di Petaling Jaya. Reka bentuk kajian kualitatif digunakan ke atas 12 orang informan primer iaitu mangsa. Temu bual dilakukan dengan kaedah temu bual separa struktur dan pemerhatian tidak turut serta yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya. Sejumlah dua orang informan sekunder yang berperanan sebagai informan utama dari Pejabat Timbalan Pengarah (Bahagian Siasatan Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Putrajaya ditemu bual untuk mendapatkan perspektif lanjut mengenai pengalaman trend personaliti individu yang berpotensi menjadi mangsa. Teori Victimology digunakan untuk menilai tipologi mangsa yang menjadi sasaran penjenayah cinta siber. Hasil kajian mendapati bahawa pengalaman mangsa dalam tempoh perkenalan di media sosial dan modus operandi yang dialami oleh mangsa di Petaling Jaya belum memadai untuk memberi pendedahan tentang ancaman jenayah cinta siber. Kajian menyimpulkan bahawa usaha, pendidikan dan kempen kesedaran yang dianjurkan oleh pihak berautoriti seperti PDRM belum memadai untuk meningkatkan kesedaran pengguna media sosial tentang bahaya ancaman jenayah cinta siber.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.