PERSEPSI POLITIK DALAM PILIHAN RAYA UMUM 2013: KAJIAN KES DI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR (Political perceptions in the 2013 general elections: a case study in the federal territory of Kuala Lumpur)

Junaidi Awang Besar, Rosmadi Fauzi, Amer Saifude Ghazali, Muhammad Hazim Abdul Ghani

Abstract


Dari segi sejarah dan geopolitik, Kuala Lumpur, amat penting bagi mana-mana parti politik terutamanya yang memerintah kerana ia merupakan powerhouse negara di mana tempat letaknya Parlimen Malaysia dan menjadi lokasi cabang utama eksekutif dan kehakiman kerajaan Persekutuan sejak sekian lama. Wilayah ini menonjolkan budaya politik dan pola pengundian yang agak berbeza disebabkan faktor urbanisasi dan demografi penduduknya yang berbeza dengan negeri-negeri lain dan sekaligus menjadikan fokus kajian politik di Kuala Lumpur begitu menarik. Dengan komposisi etnik yang pelbagai, kelas sosioekonomi yang rencam serta pelbagai isu dan masalah urbanisasi seperti kesesakan jalan raya, peningkatan kos sara hidup serta jenayah yang semakin meningkat menyebabkan isu governans dan keselamatan terus dibangkitkan masyarakat bandar di Kuala Lumpur sekaligus mempengaruhi sokongan kepada kerajaan yang memerintah dan parti politik. Justeru, adalah menjadi tujuan penulisan artikel ini untuk menganalisis persepsi politik pengundi di Kuala Lumpur seterusnya mempengaruhi pilihan politik mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013. Kaedah kualitatif yang digunakan dalam kajian ini ialah temubual bersemuka dan pemerhatian di lapangan manakala kaedah kuantitatif yang digunakan ialah melalui instrumen soal selidik. Berdasarkan data soal selidik terhadap 1069 responden di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kajian sekunder terhadap bahan-bahan akademik yang berkenaan didapati responden menyatakan mereka memilih calon yang jujur dan amanah serta mesra rakyat serta menyokong parti yang dapat memacu pembangunan dan membasmi kemiskinan. Responden juga kritis terhadap isu-isu nasional seperti isu ekonomi, sosial dan politik namun mempunyai identifikasi politik yang jelas terhadap parti yang mereka sokong. Seterusnya majoriti responden etnik Melayu dan etnik India menyokong BN berbanding responden etnik Cina yang menyokong parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam PRU 2013 yang lalu. Persepsi politik di Kuala Lumpur berbeza mengikut kaum, kelas sosial dan juga pendapatan mereka. Pengundi di Kuala Lumpur mempunyai ‘deria’ politik tersendiri yang turut dipengaruhi oleh isu semasa dan juga tahap perkhidmatan yang disediakan oleh penguasa tempatan iaitu DBKL. Sentimen ‘politik bandar’ yang menguasai ruang geografi Kuala Lumpur yang mempunyai pelbagai kemudahan asas di samping mengalami akses maklumat yang luas iaitu internet menjadikan mereka ‘penilai politik’ yang terbuka, tanpa terkongkong kepada sajian maklumat daripada satu pihak sahaja.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.