MEMAHAMI KESEPADUAN SOSIAL DI SEMPADAN MENERUSI LENSA KOMUNIKASI

MOHD YUSOF ABDULLAH, SUHANA SAAD, JUNAENAH SULEHAN NOOR RAHAMAH ABU BAKAR, ABD. HAIR AWANG, ONG PUAY LIU

Abstract


Sempadan antara negara merupakan kawasan penting kepada dua belah negara. Pada masa kini, ianya menjadi lebih penting sebagai pusat pertemuan komuniti, zon untuk kerjasama dua hala dan laluan keluar masuk pelbagai aktiviti halal dan haram. Lantas, komuniti di kawasan sempadan antara negara lazimnya mempunyai dan menjalin hubungan lebih kerap dan rapat antara satu sama lain. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka berkongsi persamaan dari segi keturunan, bahasa, dan budaya. Faktor kedekatan juga mempengaruhi hubungan rapat yang terjalin di samping wujudnya prasarana sistem komunikasi yang telah dibangunkan oleh pihak kerajaan kedua buah negara. Kawasan penempatan komuniti di sempadan Sarawak, Malaysia dan Kalimantan Barat, Indonesia terletak jauh dari ibu negeri atau bandar besar kedua buah negara dan ini juga menyebabkan hubungan penduduk itu lebih dekat sesama mereka. Makalah ini membentangkan isu hubungan komuniti di kawasan penempatan penduduk di sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat berdasarkan data kajian lapangan yang telah dijalankan. Kajian ini menggunakan pemerhatian di lapangan dan tinjauan melalui soalselidik untuk melihat pola hubungan ethnik di tiga kawasan penempatan penduduk iaitu Kampung Mongkos, Lubuk Antu, Ba’kelalan dan Telok Melano di Sarawak. Dapatan kajian mendapati penduduk di kawasan kajian mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain hasil daripada pertalian darah dan sosial yang telah lama terjalin. Hubungan yang rapat ini diperkukuhkan lagi dengan mudahnya penduduk keluar masuk untuk urusan harian dan sosial ke kawasan masing-masing melalui jalan yang sedia ada dan peraturan keluar masuk sempadan yang mesra pelanggan. Justeru, saling kebergantungan antara komuniti ini untuk memenuhi keperluan kehidupan menjadikan komunikasi antara mereka lebih akrab dan rapat walaupun sekali sekala timbulnya isu persempadanan nasional. Hasil kajian ini menunjukkan hubungan sosial komuniti di sini dengan keluarga dan jiran di sempadan adalah mesra. Secara keseluruhannya, boleh disimpulkan penduduk di kawasan sempadan ini menjalani kehidupan harian dalam keadaan yang tenang, simpel dan gembira. Kedinamikan hubungan komuniti di sempadan ini patut dilihat sebagai model untuk memahami kesejahteraan hubungan etnik dan kesepaduan sosial negara.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528