SOROTAN LITERATUR BERSISTEMATIK AMALAN PERUBATAN TRADISIONAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI DI MALAYSIA
Abstract
Amalan perubatan tradisional telah lama menjadi amalan masyarakat Orang Asli di Malaysia. Mereka menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai bahan asas dalam merawat penyakit. Ilmu perubatan tradisional masyarakat Orang Asli hanya diketahui oleh ahli keluarga mereka dan penyebaran ilmu ini agak terbatas. Keadaan ini berlaku kerana masyarakat Orang Asli tidak menyebarkan ilmu mereka kepada masyarakat umum demi menjaga kelestarian khazanah ilmu perubatan mereka. Namun, keterampilan ilmu-ilmu tradisi Orang Asli yang terdapat di Malaysia telah menjadi titik tolak untuk mendedahkan keunikan mereka dalam bidang perubatan tradisional. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis amalan perubatan tradisional dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Justeru, artikel ini memilih sorotan karya bersistematik sebagai satu metodologi untuk menjalankan penyelidikan. Kajian ini juga dijalankan secara sistematik melalui Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta-Analyses (PRISMA). Terdapat empat proses yang digunakan dalam PRISMA bagi meneroka sorotan karya iaitu pengenalpastian, saringan, kelayakan dan rangkuman. Hasil kajian ini telah menunjukkan terdapat amalan perubatan tradisional yang masih diamalkan oleh masyarakat Orang Asli sebagai alternatif untuk merawat penyakit. Segelintir daripada mereka juga masih bergantung terhadap elemen-elemen tradisional kerana terdapat penyakit-penyakit yang tidak dapat disembuhkan dengan hanya menggunakan teknologi perubatan moden. Untuk kajian lanjutan, kaedah rawatan tradisional Orang Asli berasaskan akar kayu dan ritual penyembuhan dalam kalangan Orang Asli Kensiu wajar diketengahkah dan didokumentasikan untuk rujukan pada masa akan datang.
Kata kunci: Amalan; Malaysia; Orang Asli; perubatan tradisional; tumbuhan ubat-ubatan
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.