REALITI SOSIAL DALAM SUARA KITA: ANTOLOGI SERIBU SAJAK MERDEKA
Abstract
Makalah ini menganalisis paparan realiti sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat berdasarkan buku Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka (2013). Realiti sosial merupakan sebuah perlakuan dalam ruang lingkup kehidupan masyarakat yang dapat dilihat dari sudut pandang positif mahupun negatif. Puisi yang diteliti melihatkan realiti sosial melalui dua pemuisi iaitu, Hanifah Hj Ibrahim dengan judulnya ‘Di Mana Fitrah Kemanusiaan’ dan ‘Wadah 50 Tahun Merdeka’ serta Saudah Mat Lazim yang bertajuk ‘Kampungku’ dan ‘Mengenang Sejarah Silam’. Makalah ini mewartakan persepsi penulisan empat buah puisi dalam menghuraikan kehidupan masyarakat yang mempunyai kaitan dengan permasalahan realiti sosial di negara ini. Hal ini bagi memberi ruang kepada masyarakat dalam meneliti hubung kait realiti sosial masyarakat dan perspektif nyata dalam sudut penglihatan pemuisi bersandarkan teks. Analisis teks menggunakan teori sosiologi sastera oleh Hippolyte Taine berdasarkan kepada tiga elemen utama, iaitu race (bangsa), milieu (persekitaran) dan moment (masa atau momentum tradisi budaya dahulu dan sekarang). Dapatan penulisan ini memperlihatkan bahawa empat puisi dipilih menonjolkan realiti sosial yang pelbagai dan mempunyai kaitan jelas bersama teori yang dikemukakan. Terdapat empat tema yang terdapat dalam puisi-puisi terpilih tersebut, iaitu pergaulan bebas dan pembuangan bayi, masalah rasuah dan skim cepat kaya, masalah pencemaran alam sekitar, dan penyalahgunaan dadah. Hasil kajian mendapati bahawa penulisan realiti sosial merungkai permasalahan sosial dalam kalangan masyarakat yang dapat dihuraikan melalui tiga elemen dalam teori sosiologi sastera. Oleh hal yang demikian, makalah ini melihat pembangunan lahiriah dan insaniah masyarakat berdasarkan penelitian bersandarkan teks agar perbincangan yang dibuat dapat memberikan manfaat yang baik kepada kehidupan sejagat manusia. Kata kunci: Realiti sosial; masyarakat; puisi; teori sosiologi sastera; Hippolyte Taine.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.