LEKSIS BAGATON DALAM KORPUS BAHASA MELAYU SEBAGAI SIMBOL KEINTELEKTUALAN MASYARAKAT PERIBUMI SABAH

EFFENDY YUSUFF, ANIDA SARUDIN, NORLIZA JAMALUDDIN

Abstract


Penyelidikan ini dilaksanakan untuk mengkaji fungsi leksis bahasa sukuan bagaton peribumi Sabah dalam korpus bahasa Melayu. Pengekalan penggunaan leksis bahasa sukuan bagaton berjaya memanifestasikan adat tradisi masyarakat peribumi Sabah, khususnya masyarakat Kadazan-Dusun. Sumber data yang dimanfaatkan adalah daripada data korpus bahasa Melayu yang dibangunkan sendiri oleh penyelidik. Teks yang digunakan ialah Bagaton dan Mariga oleh Amil Jaya, Dukanya Abadi, Kukui, Dari dalam Cermin, dan Debur Menerpa oleh Azmah Nordin. Sebanyak 145 leksis bahasa sukuan telah dikenal pasti digunakan secara bersama-sama dengan bahasa Melayu dalam data korpus. Bagaimanapun, dalam artikel ini salah satu leksis yang hadir, iaitu leksis bagaton dipilih untuk dianalisis dengan menggunakan teori semantik ranah (frame semantics) yang dipelopori oleh Charles Fillmore (1982). Dapatan kajian menunjukkan bahawa pendekatan berteori linguistik, khususnya semantik ranah dapat memerihalkan gelagat semantik leksis bahasa sukuan dalam korpus bahasa Melayu. Leksis bagaton hadir membawa tiga makna, iaitu bekas penyimpanan, khas dan unsur kepercayaan. Leksis bagaton telah bertindak sebagai lambang kekuatan ikatan kekeluargaan, kasih sayang, status kedudukan, dan nilai kepercayaan masyarakat peribumi Kadazan-Dusun. Leksis bagaton yang digunakan dilihat dapat menyerlahkan keintelektualan masyarakat peribumi Sabah. Menerusi leksis bagaton, pemikiran masyarakat Kadazan-Dusun yang berpegang teguh pada adat tradisi telah menyerlahkan lagi jati diri mereka. Dapatan juga membuktikan bahawa hujahan dalam ilmu linguistik dapat menjelaskan fungsi kewujudan dan kewajaran leksis bagaton dalam korpus adalah disebabkan motivasi, potensi dan reputasi leksis tersebut.

 

Kata kunci: bagaton; bahasa sukuan; korpus; leksis; semantik ranah


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.