JUADAH-JUADAH KHINZIR SEMASA ACARA RITUAL MASYARAKAT BIDAYUH DI BAU, SARAWAK

NUR AFIFAH VANITHA ABDULLAH, EMANNUAL KEANE ANAK ANTHONY, SITI NUR IZRA SAFRA’ ABD HALIM

Abstract


Juadah daging khinzir adalah antara perkara wajib yang disediakan semasa upacara ritual kaum Bidayuh di Sarawak. Suatu upacara ritual dianggap tidak sempurna dan usaha sia-sia tanpa persembahan juadah khinzir. Namun begitu, setakat ini terdapat jurang ilmu yang sangat ketara dalam konteks korpus ilmu, sama ada tentang khinzir mahupun juadah khinzir sebagai aspek penting dalam ritual masyarakat Bidayuh. Oleh itu, objektif artikel ini bertujuan menghuraikan apa dan bagaimana masyarakat Bidayuh di Kampung Duyoh, Bau Sarawak menyediakan juadah-juadah khinzir semasa upacara ritual mereka. Kajian berbentuk kualitatif dirangka dengan mengaplikasi kaedah kepustakaan dan temu bual bagi memperolehi data. Kajian ini dijalankan bagi menjawab persoalan, apakah kaedah-kaedah penyediaan juadah khinzir dalam upacara masyarakat Bidayuh? Sehubungan itu, teori ekologi budaya oleh Julian Haynes Steward diaplikasi bagi memperolehi jawapan kepada persoalan kajian. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa juadah khinzir adalah suatu bahan persembahan yang wajib dalam upacara ritual kaum Bidayauh kerana ia dipercayai membawa keberkatan kepada penduduk kampung yang menganjurkan ritual berkenaan. Juadah khinzir disediakan secara gotong royong dari segi tenaga dan pemberian bahan-bahan masakan oleh ahli masyarakat suatu kampung. Terdapat empat kaedah memasak juadah khinzir, iaitu sangai, manggang, nanak dan reneh. Penyediaan juadah untuk ritual diketuai dan dikawal selia oleh Ketua Gawai dengan bantuan ahli kampung yang mahir bagi memastikan kesucian, ketaatan dan ketetapan pantang larang dalam ritual-ritual masyarakat Bidayuh. Juadah khinzir masyarakat Bidayuh semasa upacara ritual mereka adalah anyang, sipayouk, oyuak mangang, sam, panang dan pansuh khinzir.

Kata kunci: Bidayuh; Ekologi Budaya; khinzir; ritual; Sarawak


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.