PERLAMBANGAN TOPENG HAIWAN DAN MANUSIA DALAM PERSEMBAHAN BARONGAN DI MUAR DAN BATU PAHAT, JOHOR: SATU ANALISIS IKONOGRAFI
Abstract
Barongan merupakan persembahan tradisi yang menggabungkan elemen topeng haiwan dan watak manusia sebagai perlambangan kuasa luar biasa, perlindungan dan norma moral dalam komuniti masyarakat Jawa di daerah Muar dan Batu Pahat, Johor. Objektif penulisan ini adalah menjelaskan perlambangan topeng haiwan dan watak manusia dalam persembahan Barongan dan membincangkan implikasinya terhadap identiti budaya dan sosial masyarakat Jawa di daerah tersebut. Penulisan ini menggunakan kaedah kualitatif berasaskan pemerhatian ikut serta dan temu bual separa struktur dengan penggiat utama kumpulan Barongan. Data yang diperolehi direkod, disaring dan dianalisis secara tematik bagi mengintepretasi perlambangan yang diwakili oleh topeng haiwan dan watak manusia. Maklumat ini disokong dengan kajian kepustakaan yang terdiri daripada buku, artikel jurnal dan tesis yang berkaitan tajuk penulisan. Reka bentuk kajian ini bersifat deskriptif-analitik iaitu mendokumentasikan elemen simbolik dalam persembahan Barongan serta menganalisis maknanya menggunakan Teori Ikonografi Erwin Panofsky (1939) yang merangkumi tiga peringkat tafsiran: pra-ikonografi, ikonografi, dan ikonologi. Dapatan penulisan ini menunjukkan topeng haiwan seperti kepala harimau, Singo Barong, prop Kuda Barong, topeng monyet (Genderuwo) dan topeng Buaya berfungsi sebagai simbol kuasa luar biasa, perlindungan dan ancaman kepada makhluk halus. Seterusnya watak manusia melambangkan peranan sosial, etika dan identiti masyarakat Jawa di kawasan kajian. Interaksi antara topeng haiwan dan watak manusia dalam persembahan ini menunjukkan hubungan erat antara manusia dan alam yang saling memerlukan antara satu sama lain. Implikasi kajian ini menegaskan bahawa persembahan Barongan sebagai seni warisan berperanan memelihara identiti budaya tempatan. Pendokumentasian warisan ini dapat memperkukuhkan peranan seni Barongan sebagai medium pendidikan, pelestarian warisan dan pengukuhan jati diri masyarakat Jawa di daerah Muar dan Batu Pahat, Johor.
Kata kunci: Barongan; Muar dan Batu Pahat, Johor; identiti budaya; pelestarian warisan
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.