ANALISIS FRASA KERJA DIALEK KELANTAN MENGGUNAKAN KERANGKA PROGRAM MINIMALIS
Abstract
Dialek Kelantan (DK) merupakan variasi bahasa Melayu yang memperlihatkan ciri sintaksis tersendiri, termasuk dalam pembentukan frasa kerja. Kajian terdahulu telah menerapkan Program Minimalis terhadap beberapa dialek Melayu dan aspek tertentu DK, namun penelitian yang menghuraikan secara bersepadu frasa kerja transitif, tak transitif tak ergatif, tak transitif tak akusatif dan dwitransitif dalam DK masih terhad. Kajian ini bertujuan untuk (i) mengenal pasti dan menghuraikan jenis frasa kerja yang terdapat dalam DK dan (ii) menganalisis struktur sintaksis frasa kerja tersebut berdasarkan kerangka Program Minimalis. Kajian kualitatif berbentuk kajian lapangan dijalankan di Kampung Atas Pinggir, Pasir Mas, Kelantan dengan melibatkan lima orang informan penutur natif DK berumur 65 hingga 86 tahun. Data diperoleh melalui temu bual separa berstruktur dan rangsangan gambar perbuatan, kemudian ditranskripsikan, dikategorikan berdasarkan struktur argumen dan dianalisis secara deskriptif serta teoretikal. Dapatan menunjukkan bahawa data transitif dan dwitransitif mengekalkan susunan asas Subjek–Kata Kerja–Objek, manakala kata kerja tak ergatif dan tak akusatif memperlihatkan perbezaan pada kedudukan asal argumennya. Data turut menunjukkan pengguguran awalan meN- pada beberapa kata kerja transitif. Bentuk gi keda pula lebih tepat dianalisis sebagai kata kerja gerak tak transitif dengan komplemen arah/lokatif tanpa preposisi ke yang direalisasikan secara nyata, bukan sebagai struktur transitif. Analisis Program Minimalis menunjukkan bahawa perbezaan antara keempat-empat kategori frasa kerja dapat dihuraikan melalui struktur argumen, peranan teta, operasi Gabung (Merge), Keserasian (Agree) dan pergerakan unsur sintaksis. Kajian ini menyumbang kepada dokumentasi sintaksis DK serta memperluas penerapan analisis formal terhadap variasi dialek Melayu.
Kata kunci: dialek; dwitransitif; frasa kerja; Program Minimalis; tak akusatif
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.