GAGASAN PATRIOTISME DAN KEPIMPINAN MELAYU ISLAM DALAM NOVEL ACUMAN MAHKOTA

NORAZAN MAT NOR, CHE ABDULLAH CHE YA, BURHAN CHE DAUD

Abstract


Kajian ini menganalisis gagasan patriotisme dan kepimpinan Melayu Islam dalam novel Acuman Mahkota karya Abdul Kadir Adabi. Novel Acuman Mahkota sebagai sebuah teks sastera ideologis yang berperanan membentuk kesedaran politik dan nasionalisme Melayu pada awal abad ke-20. Kajian-kajian terdahulu lazimnya menafsirkan karya Abdul Kadir Adabi sebagai novel sejarah yang bersifat moralistik dan feudal, sekali gus mengabaikan dimensi politik serta kritikan ideologis yang terkandung di dalamnya. Justeru, kajian ini berusaha merapatkan jurang tersebut dengan meneliti bagaimana konsep patriotisme dan kepimpinan Melayu Islam diaplikasikan sebagai wacana alternatif terhadap kepimpinan feudal yang kolaboratif dengan kuasa kolonial British. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis  teks berpandukan kerangka sosiopolitik dan pemikiran politik Islam.Tumpuan kajian kepada struktur naratif, pembinaan watak serta peristiwa penting dalam novel denggan menggunakan teori politik “Dua Ruang” Shamsul Amri Baharuddin. Dapatan kajian menunjukkan bahawa patriotisme dalam Acuman Mahkota tidak ditampilkan sebagai sentimen romantik cintakan tanah air semata-mata, sebaliknya sebagai kesedaran politik yang kritikal terhadap penjajahan dan pengkhianatan elit. Kepimpinan Melayu Islam pula digambarkan sebagai amanah moral dan Ilahi yang menuntut keadilan, integriti serta tanggungjawab terhadap rakyat. Novel ini turut mengemukakan kritikan jelas terhadap golongan elit feudal Melayu yang bersetongkol dengan kolonial kepentingan diri. Selain itu, golongan marhaen sebagai subjek politik berpotensi sebagai agen perubahan politik Melayu. Islam dilihat berfungsi sebagai asas legitimasi kepimpinan dan penyatuan nasionalisme Melayu. Justeru, novel Acuman Mahkota wajar dinilai semula sebagai teks penting dalam wacana nasionalisme dan pemikiran politik Melayu-Islam awal.

Kata kunci: Patriotisme; Kepimpinan Melayu Islam; Acuman Mahkota.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.