PERALIHAN DEMOGRAFI DAN KESEJAHTERAAN SOSIAL MASYARAKAT MELAYU : SUATU PERBANDINGAN ANTARA MALAYSIA DAN KEMBOJA (Demographic Transition and Social Well-being of the Malay Community : A Comparative Study of Malaysia and Cambodia)

Asmah Ahmad, Rosniza Aznie Che Rose

Abstract


Ciri kependudukan sesuatu masyarakat berkait rapat dengan tingkat kesejahteraan sosial yang
dinikmatinya. Suatu aspek sifat kependudukan tersebut ialah tinggi rendahnya tingkat kesuburan dan
kematian yang dialami. Tingkat pembangunan sebagai suatu ukuran kemajuan atau tingkat
kesejahteraan pernah dikaitkan dengan ciri kependudukan sedemikian melalui hubungan songsang.
Masyarakat yang bercirikan kadar kelahiran dan kematian rendah dilihat sebagai mempunyai tingkat
pembangunan relatif tinggi, justeru kesejahteraan tinggi, berbanding masyarakat yang bercirikan
kadar kelahiran dan kematian tinggi pula mempunyai pembangunan relatif rendah, justeru
kesejahteraan juga rendah. Dengan berlatar belakangkan hujah sedemikian, makalah ini cuba
merungkai keadaan kesejahteraan sosial penduduk Melayu Malaysia dan Kemboja dengan menyusuri
prestasi evolusi peralihan demografi masing-masing melalui pembangunan kesihatan dan pelajaran,
iaitu dua daripada komponen kesejahteraan sosial. Kedua-dua komponen kesejahteraan ini
memainkan peranan unggul dalam mempengaruhi tingkat kelahiran dan kematian. Analisis daripada
data sedia ada menunjukkan Malaysia berada di akhir peralihan demografinya dengan kadar kelahiran
dan kematian rendah pada tahun 2000 (masing-masing 25 kelahiran dan 5 kematian per 1000
penduduk) sementara Kemboja masih berada di peringkat awal peralihan dengan kadar kelahiran dan
kematian yang masih tinggi (34 kelahiran dan 11 kematian per 1000 penduduk). Kadar ini terjelma
daripada tingkat kadar kematian bayi (IMR) yang rendah dan jangkaan hayat yang tinggi (indikator
kesihatan relatif baik) di Malaysia, sebaliknya kadar kematian bayi yang tinggi dan jangkaan hayat
yang rendah (indikator kesihatan relatif rendah) bagi Kemboja. Kesejahteraan yang lebih baik di
Malaysia juga digambarkan melalui kadar celek huruf dan Keluaran Dalam Negara Kasar yang jauh
lebih tinggi berbanding Kemboja. Kedua-dua indikator akhir ini mempengaruhi taraf kesihatan
berbeza yang dialami Malaysia dan Kemboja.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


-


 

_________________________________________________

eISSN 1823-884x

Faculty of Social Sciences & Humanities
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA

© Copyright UKM Press, Universiti Kebangsaan Malaysia