MIGRASI KELUAR DAN REBAKAN BANDAR: BUKTI DI PINGGIRAN WILAYAH METROPOLITAN LEMBAH KLANG, MALAYSIA (Outmigration and Urban Sprawl: Evidences from the Peripheries of Klang Valley Metropolitan Region, Malaysia)

Katiman Rostam, Mohd Fuad Mat Jali, Aishah @Eshah Hj Mohammad

Abstract


Migrasi keluar dari wilayah metropolitan ke kawasan pinggiran pada masa kebelakangan ini adalah suatu trend global. Dalam era globalisasi ekonomi wilayah metropolitan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara. Wilayah sedemikian telah menjadi fokus kepada pelaburan, khususnya pelabur asing langsung kerana kelebihan daya saingnya. Ketiadaan tanah yang sesuai untuk dimajukan di kawasan teras telah menyebabkan banyak firma pembuatan dan perkhidmatan menempatkan diri atau memindahkan aktiviti mereka ke kawasan pinggir wilayah metropolitan. Peningkatan penawaran peluang pekerjaan dan kawasan kediaman bandar yang baru telah menarik isi rumah termasuk mereka yang tinggal di zon teras, untuk berpindah ke kawasan yang baru membangun. Hal ini menggalakkan proses rebakan bandar di kawasan tersebut. Makalah ini bertujuan membincangkan pola migrasi penduduk yang tinggal di dalam dan sekitar Wilayah Metropolitan Lembah Klang serta hubungannya dengan rebakan bandar. Menggunakan data banci penduduk dan perumahan tahun 2000, juga data kaji selidik yang dilakukan secara rawak bersistematik terhadap isi rumah yang tinggal di daerah Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat, pola migrasi penduduk di wilayah tersebut dianalisis. Hasil analisis menunjukkan bahawa migrasi intraNegeri Selangor merupakan pola yang dominan (71 peratus) bagi tempoh 1996-2000. Bagaimana pun 41 peratus daripada penduduk yang berpindah keluar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, zon teras Wilayah Metropolitan Lembah Klang , bergerak menuju ke Negeri Selangor. Selanjutnya lebih 43 peratus migran yang berpindah ke kawasan pinggiran wilayah metropolitan tersebut berasal dari zon teras dan dalaman khususnya Bandaraya Kuala Lumpur, Klang dan Petaling. Kebanyakan migran terdiri daripada isi rumah yang berpendidikan, berpendapatan sederhana, mempunyai saiz keluarga agak besar, bekerja di kawasan sekitar 10 kilometer dari tempat kediaman dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Majoriti isi rumah berpindah kerana ingin memiliki hartanah atau rumah kediaman sendiri yang harganya dikatakan lebih murah berbanding dengan harga yang ditawarkan di zon teras dan dalaman wilayah tersebut. Migrasi ini cenderung untuk menunjukkan bahawa aliran pergerakan keluar dari zon teras dan dalaman ke pinggir wilayah metropolitan sedang berlaku dan ini diikuti oleh proses rebakan bandar yang pesat. Pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi kedua-dua kawasan asal dan destinasi di mana migrasi berlaku sewajarnya mengambil langkah proaktif untuk menangani isu tersebut.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


-


 

_________________________________________________

eISSN 1823-884x

Faculty of Social Sciences & Humanities
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA

© Copyright UKM Press, Universiti Kebangsaan Malaysia