DASAR DAN SISTEM MEDIA DI INDONESIA 1966-1998

Erman Anom

Abstract


Kajian ini mengkaji bagaimana sistem akhbar terbentuk di bawah sistem politik Soeharto sehingga dirujuk sebagai dasar akhbar Indonesia antara 1966 hingga 1998. Untuk mencapai tujuan kajian, penyelidikan telah dibuat ke atas akhbar serta faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan sistem akhbar dengan menggunakan pendekatan penyelidikan persejarahan melalui analisis dokumen dan temubual mendalam. Hasil kajian menunjukkan bahawa pembentukan sistem akhbar di bawah kepimpinan Soeharto adalah berasaskan kepada suatu proses yang dirancang secara sedar untuk disesuaikan dengan falsafah dan nilai yang diamal oleh Soeharto, yang seterusnya menjadi dasar nasional Indonesia. Proses yang dirancang ini berteraskan nilai-nilai budaya seperti “gotong royong”, semangat keharmonian, keserasian, keseimbangan, dan ketaatan. Proses pembentukan sistem akhbar di era Soeharto dilakukan melalui pembujukan dan konsensus yang dilakukan semasa mesyuarat, yang kemudiannya dijadikan alat untuk mengawal aktiviti akhbar di Indonesia. Kajian juga mendapati beberapa faktor dominan yang mempengaruhi perkembangan sistem akhbar ketika itu merangkumi faktor sosio-budaya, politik dan ekonomi. Hasil kajian menunjukkan dari 1966 hingga 1973, kerajaan Soeharto mendukung aspirasi untuk membentuk suatu sistem akhbar yang sihat, bebas dan bertanggungjawab serta membina semangat kekeluargaan selaras dengan arah perancangan ideologi politik kerajaan. Dari tahun 1974 hingga 1983, pembentukan dan pengembangan akhbar adalah berasaskan kepada semangat dan iltizam terhadap Pancasila, dengan tujuan supaya akhbar dapat menyokong pembangunan masyarakat Pancasila, yang membawa kepada interaksi positif antara kerajaan, akhbar dan masyarakat. Dari 1984 hingga 1998, lesen penerbitan (SIUPP) menjadi kekuatan kepada perkembangan akhbar perniagaan yang membawa kepada pertumbuhan sistem akhbar yang bebas dan bertanggungjawab. Dasar-dasar inilah yang menjadi landasan penting dalam pembentukan sistem akhbar berteraskan Pancasila di bawah era kepimpinan Soeharto.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528