ANALISIS KUALITATIF PEMBINGKAIAN AKHBAR THE STAR DAN UTUSAN MALAYSIA MENGENAI KNTROVERSI MAJLIS “THANKSGIVING” DI DUMC

Muhammad Raqib Mohd Sofian, Adnan Hussein

Abstract


Kajian ini meneliti dan membandingkan bagaimana dua akhbar arus perdana berlainan bahasa di Malaysia, The Star dan Utusan Malaysia  melaporkan isu konflik agama yang mencetuskan kontroversi berkaitan akidah dan kepercayaan umat Islam dalam satu majlis Thanksgiving yang melibatkan pelbagai kaum di Damansara Utama Methodist Church (DUMC). Majlis ini dianjurkan oleh organisasi Komuniti Harapan pada 3 Ogos, 2011. Tindakan diambil oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjalankan operasi pada majlis Thanksgiving itu menarik perhatian besar pihak media khususnya akhbar The Star dan Utusan Malaysia. Isu ini dianggap sebagai sebuah kes yang kontroversi untuk dikaji dan dibandingkan bagaimana media utama tempatan dan berlainan bahasa menonjolkan seterusnya membingkaikan isu konflik ini. The Star dan Utusan Malaysia dianalisis dengan objektif untuk menentukan pembingkaian berita (news frame) yang digunakan oleh kedua-dua akhbar dalam melaporkan mengenai isu ini seperti yang diperkenalkan oleh sarjana Robert Entman pada 1993. Dapatan kajian mendapati kedua-dua akhbar membingkai isu ini dengan memberi penekanan kepada isu konflik politik yang berlaku dalam parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) terutamanya parti Parti Islam Semalaysia (PAS) dalam menangani isu ini. Selain bingkai konflik politik, kedua-dua akhbar menunjukkan perbezaan dalam membingkai isu ini. Akhbar The Star lebih membingkai isu ini dari sudut etika moral manakala akhbar Utusan Malaysia lebih membingkai isu ini dari sudut perlembagaan.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528