Keselesaan terma pelajar dalam bilik darjah: Kajian Kes di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang, Selangor Darul Ehsan (Classroom thermal comfort in Klang, Selangor Darul Ehsan: A case study)

Sofian Mohd Daud, Shaharuddin Ahmad, Noorazuan Md. Hashim, Yusniza Mahamad Yusoff

Abstract


Suhu persekitaran yang tinggi serta jumlah penghuni yang padat di dalam sesebuah premis seperti bilik darjah mampu mendatangkan rasa tidak selesa serta mengganggu proses pembelajaran. Kajian ini bertujuan untuk mengukur perubahan parameter cuaca dan menilai persepsi sensasi terma pelajar serta turut melibatkan pengukuran tahap keselesaan terma pelajar melalui penilaian Model Jangkaan Min Pilihan (PMV) dan Indeks Jangkaan Peratusan Ketidakpuasan (PPD). Perubahan parameter cuaca diukur menggunakan alatan thermal comfort multistation, manakala parameter personal dan penilaian subjektif persepsi sensasi terma diperolehi dengan menggunakan borang soalselidik. Hasil kajian mendapati suhu persekitaran agak tinggi iaitu 33°C sekitar pukul 2.00 petang dan pergerakan angin yang perlahan telah mewujudkan bahangan di dalam bilik darjah. Di samping itu, melalui undian sensasi terma, kajian mendapati 52% pelajar merasakan bahawa keselesaan terma tidak dicapai. Purata Pilihan Sensasi Terma (Min TSV) yang dicatatkan pada nilai 1.47 jelas menunjukkan bahawa pelajar merasakan suhu di dalam bilik darjah berada antara julat sedikit panas dan sederhana panas. Pelajar lelaki dilihat lebih ramai berada di zon selesa dengan jumlah sebanyak 32%, berbanding pelajar perempuan yang hanya 16% sahaja. Pengkelasan nilai PMV mengikut zon waktu mendapati bahawa hanya waktu pagi sahaja yang memberi perbezaan yang ketara antara kedua-dua gender berbanding dengan waktu tengah hari dan petang kerana selepas pukul 12.00 tengah hari, perbezaan yang wujud adalah sangat kecil. Hampir 75% responden inginkan suhu yang lebih rendah serta tidak selesa dengan bahangan suhu yang dialami. Oleh yang demikian, inisiatif tambahan dalam usaha menyederhanakan suhu persekitaran di dalam bilik darjah ini perlu diberi perhatian. Selain itu, jumlah pelajar bagi setiap bilik perlu diberi perhatian agar tidak terlalu padat supaya proses pembelajaran dapat berjalan dalam suasana yang lebih kondusif.

Katakunci: bilik darjah, Indeks Jangkaan Peratusan Ketidakpuasan (PPD), keselesaan terma, Model Jangkaan Min Pilihan (PMV), parameter cuaca, Purata Pilihan Sensasi Terma (Min TSV)

High surrounding temperatures along with a packed number of occupants in a constrained premise such as a classroom are bound to bring about discomfort in the teaching and learning environment. This study measured classroom temperature changes in a Klang’s high school and examined some 140 of the school students’ perceived thermal sensation and comfort levels utilizing Predicted Mean Vote Model (PMV), Predicted Percentagen Dissatistied Index (PPD), and questionnaire administration. Findings revealed that 52% of the students perceived their thermal comfort as between little and moderately warm. More male students (32% ) found themselves in comfort zone compared to their female counterparts (16%). In terms of time zone, the PMV was found to prevail and gendered only in the morning. Almost 75% of the respondents wanted a lower surrounding temperature. Additional initiatives are thus called for to moderate classroom surrounding temperature. Attention may also be paid to lower the number of students per classroom to help generate a more comfortable and conducive learning environment.

Keywords: classroom, mean Thermal Sensation Vote (Mean TSV), Predicted Mean Vote (PMV), Predicted Percentages Dissatisfied (PPD), thermal comfort, weather parameter


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.