KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN DESA PEMANGKIN PENDAPATAN PEKEBUN KECIL KELAPA SAWIT PASCA COVID-19

Ahmad Raflis Che Omar, Suraiya Ishak, Azhar Ahmad, Mohd Abdullah Jusoh

Abstract


Kejatuhan harga sawit mentah dan penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun 2020 memberikan kesan negatif terhadap pendapatan pekebun kecil kelapa sawit. Bagi meningkatkan pendapatan, golongan tersebut disarankan supaya terlibat dalam aktiviti ekonomi desa seperti perniagaan kecil, penternakan dan penanaman sayur-sayuran atau buah-buahan. Namun begitu, terdapat jurang kajian dalam konteks bagaimana aktiviti keusahawanan yang disarankan oleh pengamal industri dan para pengkaji terdahulu dapat dilaksanakan secara berkesan. Hal ini disebabkan, latar belakang para pekebun kecil kelapa sawit yang rata-ratanya telah berusia melebihi 60 tahun dan mempunyai tahap keselesaan yang tinggi dalam aktiviti pertanian kelapa sawit berkemungkinan besar tidak dapat menyokong kelincahan dalam bidang keusahawanan. Oleh demikian, dijangkakan penglibatan pekebun kecil sawit dalam aktiviti keusahawanan haruslah melalui suatu proses asimilasi yang lebih khusus. Justeru, artikel ini bertujuan menghuraikan penerapan kemahiran keusahawanan desa berdasarkan Model Kemahiran Keusahawanan Desa bagi memangkin pendapatan para pekebun kecil pasca Covid-19. Kajian ini dilaksanakan menerusi pendekatan kualitatif dengan mengenalpasti kemahiran keusahawanan desa dalam kalangan responden terpilih di Negeri Perak. Kemahiran yang dapat dikesan menjadi asas untuk diterapkan dalam diri pekebun kecil yang ingin melaksanakan aktiviti keusahawanan desa yang seiring dengan kapasiti, sumber dan ekosistem di persekitaran mereka. Hasil kajian menunjukkan tiga kemahiran keusahawanan desa yang perlu diterapkan iaitu kemahiran peribadi, kemahiran interaksi dan kemahiran proses merancang serta mengurus perniagaan. Implikasi daripada kajian ini dapat menghasilkan pengetahuan baharu berkenaan model kemahiran keusahawanan desa yang berpotensi memberi impak kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil kelapa sawit

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.