PENINGKATAN KEHADIRAN TENTERA RUSIA DI KEPULAUAN KURIL

Zulfiqar Mohd Yusof, Mohd Ikbal Mohd Huda

Abstract


Pertikaian wilayah antara Rusia dan Jepun hanya membabitkan Selatan Kuril. Peningkatan kehadiran tentera Rusia di Selatan Kuril telah mencetuskan reaksi dan bantahan daripada Jepun. Jepun turut menunjukkan reaksi kurang senang terhadap peningkatan kehadiran tentera Rusia di pulau-pulau lain di dalam Kepulauan Kuril yang tidak dituntut oleh Tokyo dan kawasan sekitarnya. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong Rusia meningkatkan kehadiran tentera di Kepulauan Kuril dan kawasan sekitarnya ketika pentadbiran Dmitri Medvedev dan Vladimir Putin setelah kembali menjadi presiden Rusia pada tahun 2012 sehingga kini. Selain itu, bukti-bukti peningkatan kehadiran tentera Rusia turut dianalisis bagi menunjukkan bahawa faktor-faktor peningkatan kehadiran tentera di Kepulauan Kuril dan kawasan sekitarnya adalah selaras dengan hujahan yang dikemukakan. Untuk memahami tindakan oleh Rusia, teori realisme defensif dan konsep keselamatan nasional telah diaplikasikan di dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati bahawa, kehadiran tentera Rusia di Kepulauan Kuril dan kawasan sekitarnya kian meningkat ketika era Dmitri Medvedev dan Vladimir Putin atas faktor kepentingan strategik dan keselamatan nasional yang merangkumi pertahanan Timur Rusia. Kedua, ancaman luaran serta pemilikan berterusan terhadap Selatan Kuril turut mempengaruhi tindakan Rusia. Ketiga, laut Okhotsk yang menjadi sebahagian daripada strategi pencegahan konvensional dan nuklear Soviet telah menyebabkan Kepulauan Kuril begitu penting untuk dikekalkan dibawah kedaulatan Moscow. Keempat, faktor global seperti pengepungan Amerika Syarikat terhadap Rusia melalui penempatan pelbagai sistem pertahanan peluru berpandu yang menganjur dari Eropah sehingga ke Asia Timur turut mendorong Rusia meningkatkan lagi kehadiran tenteranya di Kepulauan Kuril.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.