PRU-14 DAN PASCA PRU-14: ANALISIS POLITIK DI NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM

Junaidi Awang Besar

Abstract


Negeri Johor terkenal dengan jolokan negeri kelahiran UMNO pada 11 Mei 1946 yang juga merupakan kubu kuat UMNO di Malaysia ini sejak Pilihan Raya Umum pertama (PRU-1) lagi. BN yang diketuai UMNO memenangi PRU-1 hingga PRU-13 di negeri ini bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mencapai majoriti lebih daripada 2/3 kerusi. Namun pada PRU-14, buat pertama kalinya Johor tumbang kepada parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan berjaya memperoleh 36 kerusi DUN berbanding BN (19 kerusi) dan PAS hanya 1 kerusi. Politik Johor berubah lagi pada 26 Februari 2020 apabila PPBM (BERSATU) bertindak keluar PH dan membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama dengan Muafakat Nasional (MN) dan seorang wakil rakyat Bebas. Dinamika politik ini merupakan percaturan yang menarik melibatkan strategi dan seni berpolitik demi mendapatkan kuasa sama ada secara berperlembagaan mahupun secara berkepentingan. Justeru adalah menjadi tujuan penulisan artikel ini untuk menganalisis politik pilihan raya pada PRU-14 dan pasca PRU-14. Berdasarkan analisis data keputusan PRU 2018, pemerhatian di lapangan dan analisis sumber sekunder seperti artikel jurnal dan kertas persidangan, dapatan kajian menunjukkan bahawa kemenangan PH dan kekalahan BN pada PRU-14 serta penguasaan PN pasca PRU-14 di Johor membuktikan bahawa tiada yang mustahil dan tiada yang kekal dalam politik. Sesungguhnya ilmu politik penuh dengan dinamikanya dan berseni/berstrategi. Faktor isu nasional lebih kuat mempengaruhi keputusan politik rakyat Johor, justeru pemimpin negeri dan tempatan Johor turut menerima tempiasnya. Kemenangan PH pada PRU-14 dimangkin oleh sokongan pengundi Cina dan India di samping pengundi muda Melayu dan sebahagian besar First Time Voters yang dipengaruhi oleh media sosial. Implikasi daripada penulisan artikel ini ialah pihak yang menang perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah dengan adil dan beramanah untuk kebajikan rakyat manakala pihak yang tewas perlu memainkan peranan sebagai pembangkang ‘membina’ bagi memastikan pembangunan fizikal dan spiritual rakyat Johor mendapat perhatian semua ahli politik di negeri ini.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.