Rave: Ekspresi Sub-Budaya Remaja di Kuala Lumpur

Sharifah Nursyahidah Syed Annuar, Muhammad Febriansyah

Abstract


Penyebaran banyak video tarian rave dan isu pergaduhan antara kelompok raver dan hipster pernah mengecohkan para pengguna media sosial di Malaysia. Ekoran itu, muncul pandangan-pandangan yang mengecam kelompok raver sebagai sesuatu yang memalukan, membawa budaya negatif dan cenderung kepada hedonisme. Pada asalnya, rave adalah tarian hiburan yang diiringi oleh muzik berentak rancak terutama muzik elektronik yang dimainkan oleh deejay. Kebanyakan acara tarian ini diadakan di konsert, parti dan kelab eksklusif. Namun demikian, fenomena rave di Kuala Lumpur memperlihatkan kelompok raver itu boleh ditemui menari di kawasan membeli-belah seperti di KLCC (Kuala Lumpur City Centre) dan Pavilion. Situasi ini menunjukkan seakan-akan ada pesanan atau ekspresi yang cuba disampaikan oleh mereka dengan menari di tempat umum, lebih-lebih lagi apabila mereka tidak bersefahaman dengan kelompok hipster. Kajian ini membincangkan fenomena rave dari sudut sub-budaya, pemikiran dan aktiviti yang dilakukan oleh segolongan remaja di Kuala Lumpur. Ia bermatlamat untuk mengenal pasti ekspresi sosial, amalan-amalan, penggunaan ruang dan unsur lain oleh kelompok raver tersebut. Teori dan konsep seperti sub-budaya, arus perdana, ruang awam dan lain-lain yang berkaitan juga dibincangkan. Kajian ini adalah berdasarkan data empirik daripada pengamatan langsung terhadap aktiviti mereka dan temu bual mendalam dengan beberapa ahli kelompok berkenaan. Kajian mendapati rave juga adalah ekspresi sub-budaya sebagaimana skinhead, punk, goth dan lain-lain yang pernah menjadi heboh dan dianggap sebagai pencetus kepada kepanikan moral di negara ini. Namun, rave di Malaysia telah mengalami penyesuaian dengan konteks tempatan dan tidak sepenuhnya menolak keakuran, kebiasaan dan kepatuhan yang wujud dalam budaya dominan.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528