KEGUNAAN DAN KEPUASAN PORTAL BERITA DALAM KALANGAN BELIA MALAYSIA

LEE KUOK TIUNG, AISAH MERI, LIANA MAT NAYAN, SITI SURIANI OTHMAN

Abstract


Kajian eksploratori ini bertujuan mengenalpasti faktor pendorong dan kepuasan yang diperolehi daripada penggunaan portal berita dalam kalangan belia di Malaysia menerusi tiga perbincangan kumpulan fokus dan satu forum dalam media sosial di antara bulan Mac hingga Mei 2015. Dapatan kajian mendedahkan peningkatan populariti telefon pintar merupakan penyumbang utama belia memilih untuk mengakses kepada berita dalam portal berita berbanding saluran lain seperti televisyen, akhbar dan radio. Faktor pengaruh kawan telah mendorong mereka untuk turut memiliki telefon pintar yang mana telah melahir suatu trend penggunaan media yang baharu khususnya memudahkan mereka berkongsi maklumat dan bertukar pendapat. Portal berita Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris akhbar arus perdana merupakan pilihan utama informan. Faktor utama yang dikenalpasti mendorong belia menggunakan portal berita adalah mudah, pantas, menjimatkan kos, fleksibel, mudah diakses, mengisi masa lapang, pembelajaran, mengetahui isu-isu semasa, dan keunikan portal berita itu sendiri. Mereka berasa lebih berpuas hati dengan portal berita kerana lebih mudah dan cepat untuk memperolehi maklumat tambahan yang diingini menerusi enjin pencarian seperti Google. Ciri-ciri berita dalam portal berita yang dipautkan dengan video kejadian selain berita-berita berkaitan yang lain menjadi daya penarik kepada belia memilih portal berita di samping tabiat golongan belia yang suka berkongsi informasi yang menarik dengan rakan-rakan menerusi aplikasi seperti WhatsApp. Bagi penuntut universiti, kesukaran mengakses kepada saluran-saluran media tradisional menyumbang kepada pemilihan portal berita. Perkhidmatan wifi yang disediakan secara percuma dalam kawasan kampus untuk pelajar menjadi sebab utama pemilihan portal berita. Bagi belia yang telah bekerja pula kekangan masa menjadi pendorong utama mereka memilih portal berita. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan tabiat pencarian dan perkongsian maklumat itu masih sama, hanya bentuk berita yang diakses telah berubah kepada pendekatan yang lebih mudah dan jimat.

 


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528