STOPS: MENGUNGKAI ISU KEBOLEHPASARAN GRADUAN DI MALAYSIA

NORLIANA HASHIM, CHANG PENG KEE, MAT PAUZI ABD. RAHMAN

Abstract


Isu kebolehpasaran graduan mula dibangkitkan ekoran dari peningkatan kadar pengangguran di kalangan graduan tempatan kebelakangan ini. Masalah peningkatan kadar pengangguran di kalangan graduan di Malaysia tahun demi tahun bukan sahaja telah merugikan graduan, keluarga dan institusi pendidikan, malah ia boleh melumpuhkan ekonomi negara kerana modal insan ini tidak dapat diketengahkan dengan jayanya untuk membangunkan negara. Dengan mengambil pandangan daripada perspektif komunikasi, kajian ini diilhamkan untuk mengenal pasti cara graduan bertindak balas dengan masalah kebolehpasaran. Seramai 787 responden terdiri daripada graduan UKM tahun 2014 telah memberi maklum balas terhadap banci dalam talian yang dilakukan. Hujahan kepada Teori Situasi dalam Penyelesaian Masalah (STOPS) diuji untuk meneroka tindak balas graduan terhadap isu ini. Data dianalisis dengan menggunakan Model Persamaan Struktur (SEM). Lima hipotesis yang diuji telah disokong. Analisis mendapati bahawa pemboleh ubah antecedent situasi (pengenalpastian masalah, pengenalpastian kekangan dan pengenalpastian penglibatan) menjelaskan 65 peratus daripada keseluruhan sebab yang mungkin bagi graduan untuk mahu berhenti dan berfikir tentang cara untuk menyelesaikan masalah situasi yang berlaku itu. Selanjutnya, motivasi dalam situasi penyelesaian masalah dan kriteria rujukan pula menjelaskan 52 peratus daripada varians dalam Tingkah laku Komunikasi dalam Penyelesaian Masalah (CAPS). Perbincangan yang kritis mengenai penyelesaian masalah mampu memberi beberapa kesimpulan penting berkaitan perkara yang diperbincangkan. Pengamal perhubungan awam dan komunikasi sewajarnya mengembangkan pelbagai langkah penyelesaian kepada pihak organisasi supaya menggalakkan penggunaan kognitif dalam penyelesaian masalah. Hal ini penting dipraktikkan agar setiap aktiviti yang dilakukan memberi impak positif dan berkesan.

 


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528