KESIGNIFIKANAN MODEL KEPUASAN KOMUNIKASI DALAM KONTEKS PENGURUSAN MAKLUMAT SEKTOR AWAM

Wan Idros Wan Sulaiman, Dr. Maizatul Haizan Mahbob

Abstract


Sektor awam penting dalam merancang, membentuk dan melaksanakan pelbagai program  pembangunan demi memperkukuhkan sistem pentadbiran dan pengurusan negara. Justeru, kerajaan sentiasa melakukan pemantauan yang serius dengan pelbagai kaedah pengurusan maklumat terhadap bidang tugas kakitangan awam, hubungan komuniti dan dasar-dasar yang diperkenalkan supaya perancangan dan pelaksanaan dasar dapat dilaksanakan dengan sempurna seterusnya membantu kerajaan mencapai matlamat yang diingini (Adler dan Elmhorst 2009, Blundel 2010). Objektif kajian adalah mengkaji hubungan di antara dimensi pengurusan maklumat dengan kepuasan komunikasi seterusnya membina model komunikasi keorganisasian sektor awam. Kaedah kajian yang digunakan ialah Kaedah Survei yang melibatkan 420 kakitangan awam kumpulan sokongan sebagai responden kajian. Persampelan rawak mudah diaplikasikan dan soal selidik dijalankan dengan kaedah bersemuka dan mengandungi 4 bahagian iaitu Bahagian A merangkumi soalan berdasarkan profil responden, Bahagian B memfokuskan kepada aspek-aspek utama Pengurusan Maklumat (Persekitaran Maklumat, Ketidakjelasan Maklumat dan Kitaran Komunikasi) dan Bahagian C memfokuskan kepada Kepuasan Komunikasi. Analisis korelasi Pearson digunakan untuk melihat hubungan antara ketiga-tiga faktor pembolehubah bebas dalam dimensi pengurusan maklumat iaitu persekitaran maklumat, ketidakjelasan maklumat dan kitaran komunikasi dengan tahap kepuasan komunikasi. Manakala, Analisis Faktor dan Analisis Regresi Linear Berbilang akan diaplikasikan untuk membina Model Komunikasi Keorganisasian.  Kajian ini dijangkakan dapat membina satu model yang dikonsepsualisasikan semula daripada Teori Organisasi Weick (1979) dan juga diharapkan dapat memberikan sumbangan idea dan implikasi yang berguna kepada semua agensi dan kementerian dalam konteks latihan dan pembangunan kakitangan, pembentukan polisi dan perubahan budaya kerja dalam sektor awam di Malaysia.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528