MANGA DAN DOJINSHI MALAYSIA: PERSAMAAN DAN PERBEZAAN CIRI-CIRI LUARAN KARIKATUR

Roslina Mamat, Nor Shahila Mansor, Hazlina Abdul Halim, Normaliza Abd Rahim

Abstract


Artikel ini cuba mencari perbezaan dan persamaan ciri luaran karikatur manga dan dojinshi di Malaysia. Dalam kajian ini, manga adalah komik Jepun sama ada ditulis dalam bahasa Jepun atau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau Inggeris, manakala dojinshi adalah komik yang ditulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris oleh peminat manga di Malaysia tanpa mengira bangsa. Sebanyak 35 buah dojinshi dan 20 buah manga dikaji aspek luarannya seperti pakaian, latar belakang gambar, bentuk muka, saiz mata, fesyen rambut serta ciri-ciri fizikal karikatur.  Dalam kajian ini, hipotesis penulis adalah terdapat perbezaan dari segi latar belakang lakaran dan pakaian karikatur dalam dojinshi manakala dari segi aspek fizikal pula karikatur dalam dojinshi menyerupai karikatur dalam manga.  Hal ini kerana penulis dojinshi sangat menggemari manga dan keterujaan tersebut turut mempengaruhi lakaran manga. Kajian ini merupakan kajian kualitatif dan kaedah yang digunakan ialah kaedah pemerhatian dan analisis terhadap korpus terpilih. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat persamaan dan  perbezaan dalam karakter luaran dojinshi dan manga. Selain itu terdapat juga penulis dojinshi ini yang menerapkan budaya Melayu atau secara amnya budaya Malaysia dalam penceritaan dan karakter luaran komik dojinshi.  Imej luaran karya dalam dojinshi menerima sepenuhnya pengaruh manga seperti mata yang besar, hidung yang tirus dan mulut yang kecil, selain pakaian yang seksi serta  emosi berlebihan yang digarapkan seperti air mata yang berguguran keluar dan pipi 

kemerahan. Antara imej luaran daripada ciri Malaysia pula adalah watak lelaki Melayu yang berjambang, hidung kemek dan berkulit gelap, selain tudung dan pakaian yang menutup aurat. Oleh itu sebagai rumusan ringkas, penulis dojinshi terbahagi kepada 3 golongan iaitu penulis yang menerapkan sepenuhnya imej luaran karakter manga dalam dojinshi, penulis yang mencampurkan imej Malaysia dan manga dalam karakter dojinshi dan penulis yang menggunakan sepenuhnya imej Malaysia dalam dojinshi.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528