Perbezaan Etnik dalam Ketidakupayaan, Kesejahteraan Psikologi dan Kualiti Hidup Berkaitan Kesihatan dalam Kalangan Pesakit Osteoartritis Lutut di Malaysia: Satu Kajian Keratan Rentas
Abstract
Osteoartritis lutut atau knee osteoarthritis (KOA) merupakan penyakit muskuloskeletal yang lazim dan semakin meningkat secara global. Di Malaysia, perbezaan etnik dalam kelaziman KOA telah dikenal pasti, namun kajian
yang menilai sama ada perbezaan ini turut melibatkan ketidakupayaan dan kesejahteraan psikologi masih terhad. Kajian ini bertujuan untuk membandingkan ketidakupayaan, kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup
berkaitan kesihatan dalam kalangan pesakit KOA berbangsa Melayu, Cina dan India di Malaysia. Kajian keratan rentas ini melibatkan 90 orang dewasa yang telah didiagnosis secara klinikal dengan KOA, merangkumi 30 responden Melayu (57.97 ± 7.89 tahun), 30 responden Cina (60.00 ± 9.90 tahun), dan 30 responden India (59.20 ± 8.65 tahun). Ketidakupayaan berkaitan KOA dinilai menggunakan soal selidik Knee Injury and Osteoarthritis Outcome Score (KOOS), manakala kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup dinilai menggunakan Short Form 36 Health Survey (SF-36). Analisis varians sehala dan ujian post hoc digunakan untuk membandingkan keputusan antara kumpulan etnik. Hasil kajian menunjukkan bahawa responden Cina mencatatkan skor tertinggi dalam hampir semua domain KOOS dan SF-36, menunjukkan fungsi lutut, kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup yang lebih baik. Responden Melayu pula mencatatkan skor KOOS terendah dalam domain kesakitan dan kualiti hidup, serta menunjukkan tahap kesakitan yang paling tinggi. Responden India menunjukkan skor sederhana dalam kebanyakan domain, namun mencatatkan skor terendah dalam domain sukan dan rekreasi. Dapatan ini
menunjukkan perbezaan etnik yang ketara dalam aspek ketidakupayaan, kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup dalam kalangan pesakit KOA. Oleh itu, strategi pemulihan yang bersifat khusus dan mengambil kira latar belakang etnik adalah penting bagi meningkatkan kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan muskuloskeletal di Malaysia.
Keywords
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
Please contact the Chief Editor for any inquiries about the journal. For any technical difficulties please contact our technical support.
eISSN : 2289-4535
ISSN : 1675-8161