ANALISIS TINJAUAN LITERATUR KEARIFAN TEMPATAN DAN SASTERA MELAYU TERHADAP PENGHAYATAN BUDAYA GENERASI MUDA

ZURINA ABDULLAH, SALMAH JAN NOOR MUHAMMAD, ROHAINI AMIN, NOR AZLINA ENDUT

Abstract


Kearifan tempatan merupakan warisan budaya yang berhubung erat dengan sastera Melayu. Kedua-dua instrumen ini amat penting dalam memahami struktur pemikiran dan pandangan hidup masyarakat Melayu. Kajian-kajian terhadap kedua-dua instrumen ini telah banyak dilakukan, namun analisis yang menggabungkan kedua-duanya secara menyeluruh dalam pembentukan identiti budaya khususnya terhadap generasi muda masih belum dilakukan. Justeru, kajian ini dijalankan bagi meninjau dan menganalisis perkembangan literatur berkaitan kearifan tempatan serta hubungannya dengan sastera Melayu, di samping mengenal pasti jurang kajian yang masih belum diterokai. Metodologi kajian ini melibatkan analisis deskriptif terhadap 20 kajian lalu menggunakan kajian kepustakaan, merangkumi sepuluh kajian berkaitan kearifan tempatan dan sepuluh kajian lagi berkaitan sastera Melayu. Dapatan menunjukkan bahawa kearifan tempatan diteliti melalui pelbagai aspek termasuk seni persembahan, perubatan tradisional, adat, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar dan amalan berasaskan nilai Islam. Sastera Melayu pula dikenal pasti sebagai medium utama yang memaparkan akal budi, falsafah hidup dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Namun, analisis turut mendapati wujud jurang signifikan dalam kajian terdahulu, khususnya berkaitan tahap kesedaran dan penghayatan generasi muda terhadap nilai kearifan tempatan dalam sastera Melayu. Kajian empirikal yang melibatkan mahasiswa masih terhad, manakala tumpuan analisis terhadap genre tertentu sahaja mengehadkan pemahaman terhadap kepelbagaian fungsi sastera Melayu sebagai alat pendidikan budaya. Rumusannya, kajian ini menegaskan keperluan penyelidikan lebih menyeluruh yang menggabungkan pendekatan empirikal bagi menilai keberkesanan sastera Melayu sebagai wahana pemupukan identiti budaya dalam kalangan generasi muda. Cadangan dikemukakan agar penyelidikan masa depan memberi perhatian kepada kesedaran mahasiswa, variasi genre moden dan adaptasi media sebagai medium pengukuhan warisan budaya.

Kata kunci: tinjauan literatur; kearifan tempatan; sastera Melayu; generasi muda.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.