PEMULIHARAAN ALAT JERAT HAIWAN ORANG ASLI SUKU SEMAI DI GOMBAK, SELANGOR
Abstract
Makalah ini membincangkan mengenai pemuliharaan alat jerat haiwan bagi masyarakat Orang Asli suku Semai di Gombak, Selangor. Seiring dengan kemajuan pemodenan tanpa disedari telah menghakis praktis dan pelestariannya. Kegiatan memburu haiwan merupakan salah satu aktiviti mencari hasil hutan dalam kalangan masyarakat Orang Asli bagi tujuan kelangsungan hidup. Masyarakat Orang Asli mempunyai alat jerat yang digunakan untuk memerangkap haiwan. Namun begitu, peredaran masa tanpa sedar telah menyebabkan penggunaan alat jerat untuk memerangkap haiwan semakin kurang diberikan perhatian. Objektif kajian ini bertujuan untuk menganalisis mengenai kaedah pemuliharaan alat jerat haiwan masyarakat Orang Asli suku Semai dalam usaha untuk mengekalkan produk budaya tersebut. Bersandarkan keperluan kajian ini, konsep pemuliharaan dijadikan panduan untuk mencapai objektif kajian. Metodologi kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif bersifat etnografi. Pendekatan ini menggunakan kaedah kajian lapangan terdiri daripada pemerhatian, ikut serta dan temu bual dijalankan selama dua hari di Gombak, Selangor bersama informan. Informan terdiri daripada individu yang arif berkaitan alat jerat haiwan masyarakat Orang Asli. Kajian ini juga disokong oleh data-data sekunder daripada kajian perpustakaan. Proses analisis data menggunakan teknik tematik. Hasil dapatan kajian jelas menunjukkan bahawa alat jerat haiwan masyarakat Orang Asli mengalami kepupusan dan kehilangan. Senario ini, membuktikan bahawa alat jerat mesti dipertahankan untuk mengangkat kearifan tempatan Orang Asli. Sumbangan kajian ini sangat penting dengan menjadikan alat jerat haiwan suku Semai sebagai pengetahuan baharu kepada generasi muda terutamanya mereka yang lahir dari luar dunia kehidupan masyarakat orang Asli. Kajian ini juga berupaya membuktikan kearifan tempatan Orang Asli dalam mempertahankan khazanah warisan mereka.
Kata Kunci: Orang Asli; suku Semai; alat jerat; haiwan; perlindungan; kearifan
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.