PENGGUNAAN BAHASA KASAR DI RUANGAN KOMEN AKHBAR SINAR HARIAN DALAM APLIKASI FACEBOOK
Abstract
Bahasa merupakan satu aspek yang penting dalam kehidupan manusia. Penggunaan bahasa tidak hanya terhad dalam bentuk lisan sahaja bahkan ia turut digunakan dalam bentuk penulisan. Fenomena penggunaan bahasa kasar di ruangan komen akhbar Sinar Harian dalam aplikasi Facebook dilihat boleh menjejaskan martabat bangsa dan bahasa Melayu. Fenomena ini mewujudkan kepincangan terhadap nilai kesantunan bahasa Melayu terutamanya. Kajian ini secara khusus dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti bentuk penggunaan bahasa kasar di ruangan komen artikel akhbar Sinar Harian dalam aplikasi Facebook; dan mengetahui kekerapan penggunaan pelbagai bentuk bahasa kasar tersebut dalam bentuk peratusan. Pengkaji memperoleh data kajian melalui kaedah kepustakaan dan pemerhatian tidak ikut serta. Pengkaji telah menetapkan sebanyak 15 artikel dari bulan Mei hingga Jun 2024 yang mempunyai lebih daripada 200 komen dipilih bagi tujuan memperoleh data bahasa kasar yang relevan dengan kajian. Hasil kajian menunjukkan terdapat lapan bentuk bahasa kasar yang digunakan merangkumi nama haiwan atau binatang, sifat atau taraf akal, anggota kemaluan, makhluk halus, najis, nama yang sinonim dengan watak jahat, kematian dan lain-lain bentuk. Kekerapan penggunaan bahasa kasar yang paling tinggi adalah bagi unsur sifat atau taraf akal iaitu ‘bodoh/bodo’. Bahasa kasar dengan unsur sifat atau taraf akal ini turut digunakan sebagai kata makian, kata sumpahan dan kata penghinaan. Hal ini bersesuaian dengan maksud leksikal ‘bodoh/bodo’ yang menunjukkan sifat atau taraf akal yang sangat rendah. Dicadangkan agar pendedahan dan pengetahuan berkenaan bahasa kasar yang digunakan di ruangan komen akhbar Sinar Harian dapat dijadikan sebagai panduan terhadap kajian akhbar arus perdana dalam aplikasi Facebook.
Kata kunci: bahasa kasar; akhbar dalam talian; media sosial; leksikal bahasa kasar;
sosiolinguistik
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.