HIKAYAT NABI MUSA MUNAJAT (MKM 5623): SATU ANALISIS MORAL

SITI FATIMAH BAHARUM, ZUBIR IDRIS

Abstract


Hikayat Nabi Musa Munajat adalah manuskrip keagamaan dan merupakan cerita yang berunsurkan sastera hikayat. Manuskrip ini mengandungi nilai-nilai yang tersendiri dan berkaitan dengan cara hidup masyarakat. Pengamatan yang mendalam dan teliti perlu dijalankan supaya isi-isi tersirat naskhah dapat ditafsir dengan baik. Kajian dilakukan untuk memenuhi tiga objektif utama, iaitu mentransliterasikan naskhah Hikayat Nabi Musa Munajat, memperkenalkan naskhah kepada masyarakat dan menganalisis nilai moral yang terdapat dalam naskhah Hikayat Nabi Musa Munajat. Bahan kajian yang digunakan iaitu MKM 5623 Hikayat Nabi Musa Munajat merupakan manuskrip keagamaan yang diperoleh daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Kajian menggunakan kaedah kepustakaan dalam menyempurnakan analisis. Penelitian yang terperinci terhadap bahan-bahan rujukan tambahan juga diutamakan supaya analisis yang dilakukan menepati objektif. Dalam menyempurnakan analisis data, kajian ini menggunakan teori Pengkaedahan Melayu yang diperkenalkan oleh Hashim Awang. Teori Pengkaedahan Melayu terbahagi kepada dua, iaitu Pengkaedahan Keagamaan dan Pengkaedahan Alamiah. Kajian ini memfokuskan kepada Pengkaedahan Alamiah. Terdapat tiga fokus utama di bawah pengkaedahan ini, iaitu Pendekatan Gunaan, Pendekatan Firasat dan Pendekatan Moral. Fokus kajian meneliti nilai-nilai moral yang terkandung dalam Hikayat Nabi Musa Munajat yang boleh menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat berdasarkan Pendekatan Moral. Hal ini kerana Pendekatan Moral sangat sesuai digunakan dalam kajian kerana ia berkait rapat dengan peristiwa-peristiwa serta pengalaman atau kehidupan yang dilalui oleh manusia. Dapatan mendapati terdapat pelbagai nilai moral positif dan negatif dalam naskhah yang dikaji ini. Antara moral positif ialah sabar, menunaikan kewajipan dan keinsafan. Nilai moral negatif pula ialah seperti mengumpat, berzina dan derhaka. Naskhah Hikayat Nabi Musa Munajat menunjukkan bahawa Allah SWTsentiasa mengasihi hamba-Nya dengan memberi ganjaran dan juga balasan setimpal dengan perbuatannya. Kesimpulannya, diharapkan hasil kajian naskhah ini dapat dijadikan sebagai satu panduan kepada khalayak pembaca dalam menjalani kehidupan.


Kata Kunci: Manuskrip; MKM 5623 Hikayat Nabi Musa Munajat; Pengkaedahan Alamiah; Moral.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.