IMBUHAN SE- DALAM DATA KORPUS BAHASA MELAYU: CERAPAN PERILAKU MORFOLOGI

MOHAMAD HAKIMI MOHAMAD, KARTINI ABD. WAHAB

Abstract


Kemunculan imbuhan se- atau sa- dalam bahasa Melayu sudah wujud sejak zaman bahasa Melayu Purba. Namun, imbuhan se- ini dilihat jarang sekali diketengahkan kajian berkenaannya secara khusus selain yang termaktub dalam buku-buku tatabahasa Melayu secara tuntas, apatah Lagi memerihalkan aspek perilaku morfologi imbuhan se- dalam bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, makalah ini bertujuan untuk mengidentifikasikan kata berimbuhan se- dalam data korpus bahasa Melayu berdasarkan panduan Prinsip Identifikasi Morfem (PIM) oleh Nida (1949) serta menganalisis perilaku morfologi imbuhan se- tersebut. Dalam meniti era perkembangan teknologi dan ledakan maklumat pada masa kini, kajian morfologi yang berorientasikan pendekatan kajian kualitatif ini telah memanfaatkan data korpus DBP dan Kamus Dewan Perdana (KDP) sebagai sampel utama dalam pemerolehan data. Ringkasnya, kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan dan berteknikkan analisis korpus. Penganalisisan data dalam kajian ini telah mengaplikasikan Rumus Pembentukan Kata (RPK) oleh Mark Aronoff (1985) bagi mencerap fungsi dan taburan imbuhan se-, manakala Teori Relevan (TR) oleh Sperber dan Wilson (1995) pula digunakan untuk mencerap makna imbuhan se- dalam bahasa Melayu. Kajian ini mendapati bahawa perilaku morfologi imbuhan se- dalam bahasa Melayu mempunyai dwifungsi, iaitu sebagai penetap dan pengubah golongan; 15 bentuk taburan imbuhan se- berdasarkan RPK yang merangkumi enam RPK dalam pengimbuhan tunggal dan sembilan RPK dalam kompleks; serta 17 makna yang dapat dicerap melalui TR. Kesimpulannya, diharapkan agar kajian berkaitan perilaku morfologi sebegini dilanjutkan penelitiannya terhadap imbuhan-imbuhan yang lain bagi memperkaya khazanah kosa ilmu morfologi bahasa Melayu seiring dengan kemajuan teknologi.

Kata kunci: Imbuhan Se-; Perilaku Morfologi; Korpus DBP; Rumus Pembentukan Kata; Teori Relevan


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.