HIPOTEKS SEJARAH DALAM NOVEL KALBU QALHA
Abstract
ABSTRAK
Makalah ini menumpukan pemerhatian terhadap wujudnya ‘hubungan dan proses antara teks’ dalam penghasilan novel Melayu. Dasar hubungan ini dikesani awal dalam tradisi kesusasteraan Melayu seperti lipur lara, penulisan manuskrip dan seterusnya dalam penulisan prosa moden seperti cerpen dan novel. Kecenderungan hubungan ini dikaitkan dengan ‘intertekstualiti’ iaitu fenomena kewujudan ‘teks dalam sesebuah teks’ atau ‘dialog antara teks’. Intertekstualiti pertama kali diajukan Julia Kristeva bertolak daripada fahaman dialogika Mikhail Mikhailovich Bakhtin dan sistem tanda Ferdinand de Saussure. Ia kemudian diperhalusi beberapa sarjana lain seperti Roland Barthes, Gerard Genette, Michael Riffaterre dan Harold Bloom. Penelitian terhadap novel Amelia Hashim, Kalbu Qalha (2017) memperlihatkan kecenderungannya terhadap tema dan latar sejarah dengan merujuk beberapa teks seperti Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Manuskrip Undang-Undang Kedah dan Manuskrip Surat Menyurat sebagai sumber utama kajian. Beberapa proses transformasi, pembaikan dan penentangan teks asal diajukan pengarang daripada bahan-bahan sejarah tersebut. Makalah ini juga memanfaatkan falsafah sejarah yang digagaskan Syed Muhammad Naquib al-Attas, pemikir terkemuka moden Islam pada abad ke-21 yang masyhur dalam pengkajian sejarah dan kebudayaan Melayu. Tulisan beliau yang banyak terkait dengan sejarah dan kesusasteraan selain ilmu metafizik, teologi, falsafah. Penelitian ini menemukan bahawa intertekstual berperanan dalam strategi kepengarangan Amelia Hashim. Kalbu Qalha gubahannya jelas dibangunkan dari bahan-bahan sejarah. Ia khasnya dimanfaatkan dalam kerja ‘memperbaiki’ sejarah Kedah bagi menyalurkan aspirasi dan semangat mempertahankan harga diri bangsa Melayu dalam kalangan khalayaknya.
Kata kunci: Amelia Hashim; intertekstualiti; Kalbu Qalha; Novel Sejarah; sejarah Kedah
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.