TINJAUAN PEMBENTUKAN STRUKTUR PASIF DI- BERDASARKAN TIGA PENDEKATAN TATABAHASA GENERATIF

KARTINI ABD WAHAB

Abstract


Berdasarkan pendekatan Syntactic Structures (Chomsky, 1957), struktur pasif dianalisis sebagai struktur yang terbit daripada ayat aktif. Walau bagaimanapun perkembangan teori tatabahasa generatif dalam sekitar tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, telah menyaksikan berlaku beberapa perubahan analisis, dalam menangani persoalan struktur pasif, termasuklah isu pembentukan struktur pasif bahasa Melayu. Sehubungan itu, makalah ini bertujuan untuk meneliti persoalan pembentukan struktur pasif di-, dalam konteks perubahan analisisnya dalam kerangka tatabahasa generatif. Untuk tujuan tersebut, tiga pendekatan diteliti iaitu Syntactic Structures (Chomsky, 1957), teori Kuasaan dan Tambatan (Chomsky, 1981) dan Program Minimalis (Chomsky, 1995, 2000, 2001). Penelitian memperlihatkan bahawa ketiga-tiga pendekatan tersebut mempunyai deskripsi yang berbeza-beza dalam menghuraikan pembentukan struktur pasif di-. Pendekatan analisis berdasarkan Syntactic Structures didapati tertumpu kepada aspek pengaplikasian rumus transformasi pasif dalam menghuraikan pembentukan struktur pasif di-. Berdasarkan pendekatan ini juga, struktur pasif di- dianalisis sebagai terbit daripada ayat aktif. Sebaliknya dalam pendekatan teori Kuasaan dan Tambatan, pembentukan struktur pasif di- dianalisis dalam konteks interaksinya dengan teori Kasus, khususnya dari segi pergerakan FN (objek), di samping teori Teta. Pendekatan ini turut menghuraikan bahawa struktur pasif di- terbit daripada satu struktur dalam yang sedia pasif. Berbeza daripada kedua-dua pendekatan tersebut, pendekatan Program Minimalis menjelaskan pembentukan struktur pasif di- sebagai satu derivasi yang berdikari dan berasaskan daftar leksikalnya yang tersendiri. Makalah ini turut mencadangkan di- bahawa pergerakan FN (objek) dalam struktur pasif dicetuskan oleh keperluan penyemakan fitur kuat tak berinterpretasi.

Kata Kunci: struktur pasif di-; transformasi pasif; struktur dalam; pergerakan FN (objek); tatabahasa generatif


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.