TUN GHAFAR BABA: PEJUANG NASIONALIS MELAYU YANG KENTAL DAN STRATEGIS

ZAINUNABIDIN BAHARUM, ABDULLAH ZAKARIA GHAZALI, JUNAIDI AWANG BESAR

Abstract


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar bin Baba merupakan seorang negarawan ulung di Malaysia yang mempunyai kecekalan diri dalam berpolitik serta telah menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara sewaktu menjawat Timbalan Perdana Menteri. Keperluan kepada role model tokoh politik yang berwibawa seperti Ghafar amat perlu diketengahkan memandangkan kini nilai-nilai semangat kebangsaan nasionalisme berdasarkan kepada tradisi keikhlasan, kejujuran, pengorbanan dan setiakawan yang semakin terhakis oleh arus politik materialisme. Justeru, makalah ini akan menganalisis peranan yang dimainkan oleh Ghafar dalam mencurahkan bakti politik negara ini. Penelitian dilakukan terhadap sikapnya dalam menangani sesuatu masalah yang dihadapinya serta melihat apakah hasil sumbangan pemikiran dan tindakan tokoh tersebut dalam bidang yang diceburinya dalam kontek sosioekonomi dan politik Malaysia. Kajian ini dilakukan dengan menggunakan sumber sekunder yang diperoleh daripada buku-buku biografi, akhbar dan ucapan rasmi. Dapatan kajian menunjukkan terdapatnya sikap positif Ghafar bersandarkan kepada pegangan teguh kepada nilai-nilai mulia seperti kesungguhan, keberanian dan kesabaran. Beliau dapat mengawal arah tuju perjalanan hidupnya dari seorang yang miskin kepada kehidupan yang lebih sempurna. Beliau telah membuktikan, tidak kira apa jua bangsa, agama, keturunan tidak ada sekatan untuk berjaya dalam hidup. Dari anak yatim piatu yang miskin berbekalkan sijil SITC beliau berjaya menempah nama dalam setiap bidang yang diceburinya sama ada politik, ekonomi dan juga sukan. Mencungkil dalaman jiwa Ghafar bagaimana beliau boleh memiliki pelbagai keistimewaan. Dari budak miskin pengutip bola tenis dan kedi golf kepada pemimpin pada dua badan sukan tersebut; boleh duduk semeja dengan para pembesar negara dan raja-raja. Dari guru sekolah Melayu menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ketika kecilnya gemar mengumpul gambar-gambar pemimpin dunia seperti Soekarno, Shah Iran, Haile Selasie, Chiang Kai Shek akhirnya dapat berjumpa secara berdepan dan juga dapat berpeluang melawat hampir semua negara di dunia. Justeru sebagai kesimpulannya, sumbangan Ghafar dalam memberikan idea dalam membangunkan negara tidak dapat dinafikan lagi melalui gandingan mantap dengan Tun Dr. Mahathir (mantan Perdana Menteri) dalam memodenkan negara ini seterusnya terkenal di mata dunia.

Kata Kunci: idea; kesabaran; nasionalisme; negarawan; pembangunan negara; politik materialisme


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.