STRUKTUR SEMANTIK AKTIONSART KATA ‘ADA’

MASLIDA YUSOF

Abstract


Isu kata ‘ada’ masih dibincangkan dalam kalangan sarjana meskipun kajian yang agak ekstensif telah dilaksanakan mengenai subjek ini. Kebanyakan sarjana sependapat bahawa kata ‘ada’ boleh membawa fungsi sebagai kata kerja dan juga sebagai kata pemeri iaitu ada+lah (adalah) yang sama fungsi dengan kata pemeri ‘ialah.’ Sehubungan dengan itu, makalah ini akan mengkategorikan semantik kata ‘ada.’ Usaha ini adalah berdasarkan pengelasan predikat Aktionsart yang dicadangkan oleh Role and Reference Grammar (RRG).  Kelas Aktionsart adalah kelas leksikal yang dianggotai oleh sesuatu kata kerja berdasarkan jenis proses ,keadaan dan sebagainya seperti yang dimaksudkan oleh kata kerja itu.   Kelas ini memberi perhatian pada ciri hakiki temporal bagi kata kerja, iaitu, [± statik]), ] [± dinamik], [± titik penamat] dan [± tepat masa).    Data penggunaan kata ‘ada’ diperoleh  daripada data korpus Dewan Bahasa dan Pustaka.  Sehubungan itu reka bentuk kajian ini adalah bersifat kualitatif deskriptif yang bertujuan untuk mengkaji dan menjelaskan sesuatu fenomena bahasa yang berlaku.   Kajian ini mendapati kata ‘ada’ ialah kata kerja keadaan yang bercirikan [+statik], [+tempoh masa] dan [– titik penamat].  Di samping itu, kata keadaan ‘ada’ boleh dikelompokkan kepada 3 sub kelas keadaan iaitu kata keadaan ‘ada’ kehadiran, kepunyaan dan identifikasi.  Untuk kata keadaan ‘ada’ kehadiran, kajian ini telah menunjukkan bahawa kata kehadiran ‘ada’ boleh dibahagikan kepada  kehadiran sesuatu (entiti)   dan kehadiran sesuatu  entiti pada suatu lokasi  (lokasi).  Secara kesimpulan makalah ini telah menjelaskan bahawa struktur semantik predikat keadaan iaitu  predikat’ (x,y) atau predikat’ (x) dapat  direpresentasikan oleh predikat mempunyai, identiti, entiti dan lokasi.

 

Kata kunci: ada; Aktionsart; pengelasan predikat; Role and Reference Grammar (RRG); semantik


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.