DARIPADA INTROSPEKSI DIRI KEPADA NARATIF MERENTASI ZAMAN DAN SEMPADAN DALAM KARYA A. HALIM ALI

NORAZIMAH ZAKARIA

Abstract


Maksud introspeksi diri ialah proses penilaian diri (fikiran, idea, perasaan) dengan mendalam atau bermaksud membuat penilaian ke atas diri sendiri. Perjalanan dari introspeksi diri kepada naratif merentasi zaman dan sempadan, peralihan daripada konvensi kepada pemecah tradisi dalam mencari keunggulan karya memperlihatkan A. Halim Ali sebagai seorang penyair yang telah mencipta gaya kepenyairan yang tersendiri. Objektif makalah ini ialah menghuraikan empat unsur Teori Teksdealisme dalam melihat keunggulan kepengarangan A. Halim Ali sebagai penyair yang prolifik. Makalah ini akan menggunakan Teori Teksdealisme oleh Mana Sikana sebagai landasan. Naluri penyajak ialah tempat bermula letusan rasa yang kemudiannya terbentuk menjadi sedih atau gembira sebelum digubah dengan keindahan bahasa. Daripada introspeksi diri, melalui sajak yang bersifat romantisisme, pergerakan sajak A. Halim Ali merentasi zaman dan sempadan apabila mempertentangkan sajak “Kembali ke Akar Leluhur” dan naratif perjalanan beliau melalui sajak “Kita Bangsa Serumpun.” Kedua-dua sajak ini dilihat sebagai pemecah kepada konvensi kepada sebuah keunggulan dalam berkarya. Peranan karya sastera bukan sahaja dilihat sebagai rakaman pengalaman diri tetapi dilihat juga sebagai wadah pendidikan, pemikiran dan kisah kehidupan sesuatu bangsa. Oleh sebab itu tugas kepenyairan bukanlah mudah kerana untuk mencipta keunggulan dalam berkarya, penyair perlu menguasai aspek gaya bahasa dan pemilihan peristiwa supaya mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca dapat disampaikan dengan jelas dan sempurna. Maka dalam hal ini A. Halim Ali telah mencapai satu tahap keunggulan dalam berkarya apabila mempertentangkan aspek di luar batas kebiasaan dalam diksi bahasa penulisan sajak.

 

Kata kunci: A. Halim Ali; introspeksi; Mana Sikana; puisi Melayu; Teksdealisme


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.