PENDOKUMENTASIAN DIALEK ULU TERENGGANU SEBAGAI WAHANA KOMUNIKASI: SATU TINJAUAN AWAL ASPEK MORFOLOGI

NASRUN ALIAS, JAMES T. COLLINS

Abstract


Wahana komunikasi masyarakat Melayu di Terengganu terdiri daripada tiga varian dialek, iaitu dialek Terengganu Pantai yang dituturkan hampir di semua daerah kecuali sebahagian Setiu, Besut dan Ulu Terengganu; dialek Kelantan yang dituturkan di Setiu dan Besut; dan dialek Ulu Terengganu yang hanya dituturkan di daerah Ulu Terengganu. Dialek Ulu Terengganu didapati sedang mengalami kepupusan. Artikel ini bertujuan merakam tinjauan awal tentang faktor-faktor semakin berkurangnya penuturan dailek Ulu Terengganu dalam kalangan masyarakatnya. Melalui rekabentuk kajian kualitatif, data untuk artikel ini diperolehi melalui instrumen utama kajian iaitu temubual. Lebih kurang 5 informan dari kawasan kajian telah ditemu bual yang terdiri daripada 3 wanita dan 2 lelaki dalam lingkungan umur 60 tahun. Artikel ini menghuraikan aspek morfologi dialek Ulu Terengganu, iaitu beberapa aspek kata dan proses pembentukan kata sebagai pengenalan kepada dialek ini. Seterusnya, perbincangan difokuskan kepada faktor-faktor yang menyebabkan dialek ini semakin pupus. Hasil kajian mendapati bahawa penggunaan dialek Ulu Terengganu dalam kalangan generasi muda semakin berkurangan. Hal ini disebabkan beberapa faktor, seperti penghijrahan golongan muda ke kawasan luar Ulu Terengganu, penghijrahan masuk pekerja asing untuk mencari rezeki di tanah rancangan dan sektor pelancongan di Tasik Kenyir, dan faktor perasaan rendah diri dalam kalangan pengguna dailek ini. Hasil tinjauan awal ini diharap dapat mencetuskan minat terhadap pengkaji-pengkaji lain untuk meneliti aspek-aspek dialek Ulu Terengganu yang lain, seperti fonologi, sintaksis, semantik, dan dialektologi.

Kata kunci: dialek Ulu Terengganu; kepupusan bahasa; proses morfologi; pendokumentasian, warisan bahasa


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.