FILEM SEBAGAI WADAH KOMUNIKASI: SOROTAN KAJIAN LEPAS KARYA U-WEI HAJI SAARI

NUR AZLIZA MOHD NOR, NUR AFIFAH VANITHA ABDULLAH

Abstract


U-Wei Haji Saari menggunakan filem sebagai wadah komunikasinya untuk memaparkan isu dan budaya masyarakat Melayu. Setakat 2017, U-Wei telah menghasilkan enam buah filem antaranya, Perempuan, Isteri &… (1993), Black Widow-Wajah Ayu (1994), Jogho (1999), Kaki Bakar (2001), Buai Laju-laju (2004) dan Hanyut (2012). Filem-filem arahan U-Wei telah menerima pengiktirafan di festival-festival filem di peringkat nasional dan antarabangsa. Setakat ini filem beliau adalah yang paling banyak diangkat menjadi subjek kajian dalam bidang pengajian filem Melayu. Penulisan terawal tentang filem U-Wei dihasilkan oleh Lawrence Quek yang bertajuk “P. I. & …? Bicaranya…” pada tahun 1993. Sementara, penulisan terkini berjudul “Korpus Ilmu Filem-filem Arahan U-Wei Haji Saari” diterbitkan pada tahun 2017 oleh Nur Azliza Mohd Nor dan Nur Afifah Vanitha. Di antara penulisan pertama dan terkini terdapat lebih sepuluh artikel lain yang turut mengangkat filem-filem U-Wei sebagai subjek perbincangan. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan menjawab persoalan “apakah subjek, kerangka teori dan dapatan-dapatan kajian lepas tentang filem-filem arahan U-Wei?”. Dapatan artikel ini adalah terdapat pelbagai perspektif yang digunakan untuk membincangkan filem-filem U-Wei, dan imej wanita yang dipaparkan pengarah ini cenderung diberi tumpuan. Seiring dengan itu, teori feminisme lebih banyak diaplikasikan sebagai kerangka teori berbanding teori-teori lain. Justeru, dapatan pada artikel ini mampu menyediakan pengetahuan semasa tentang korpus ilmu yang sedia ada berkenaan filem-filem arahan U-Wei bagi sarjana filem Melayu khususnya dan para penyelidik pada masa hadapan.

Kata Kunci: filem Melayu; korpus ilmu; protagonis; sorotan kajian lepas; U-Wei Haji Saari 


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.