BIROKRASI DALAM ORGANISASI SENI: KAJIAN KES TERHADAP UNIT MUZIK DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR

SITI RADHIAH HAMSAR, AB. SAMAD KECHOT

Abstract


Penulisan ini bertujuan meneroka amalan birokrasi dalam proses pengurusan sesebuah organisasi seni. Unit Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijadikan sebagai subjek kes bagi kajian ini. Permasalahan kajian adalah melihat dalam konteks sebuah organisasi seni yang perlu melaksanakan banyak persembahan. Ahli organisasi seni pula kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional. Oleh itu, timbulnya persoalan tentang cara organisasi seni seperti Unit Muzik DBKL dalam menguruskan persembahan Orkestra Kuala Lumpur serta kaedah mereka mentadbir golongan profesional daripada kalangan ahli muzik. Sementara itu, birokrasi sebagai satu amalan pengurusan yang digunakan oleh hampir semua organisasi kompleks di Malaysia. Antara perbahasan dalam kajian ini adalah berkaitan terhadap isu birokrasi dalam pengurusan Unit Muzik DBKL. Penjelasan tentang proses pengurusan yang dijalankan oleh Unit Muzik DBKL bersandarkan teori pengurusan birokrasi Max Weber. Teori tersebut ada menyatakan jenis-jenis organisasi birokrasi dan ciri-ciri yang dimiliki oleh sesebuah organisasi birokrasi. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan teknik pengumpulan data yang terdiri daripada analisis dokumen, pemerhatian separa ikut serta dan temu bual separa berstruktur. Hasil kajian di lapangan mendapati, Unit Muzik DBKL telah mengamalkan proses pengurusan secara birokrasi bagi melaksanakan kerja- kerja pentadbiran di unit berkenaan. Beberapa ciri birokrasi dipamerkan seperti pelaksanaan sistem peraturan, susunan organisasi mengikut prinsip hierarki, pengkhususan dan pembahagian kerja, sistem pemilihan pekerja, pemilikan harta syarikat, dasar monopoli ke atas organisasi, sistem rekod dan pendokumentasian. Birokrasi yang diamalkan juga memperlihatkan Unit Muzik DBKL adalah organisasi jenis berkarisma berdasarkan ciri keistimewaan seorang individu yang dilantik sebagai pemimpin organisasi. Pelaksanaan sistem pengurusan birokrasi secara langsung juga telah memberi kesan positif dan negatif terhadap pengelolaan Unit Muzik DBKL.

 

Kata kunci: birokrasi; organisasi seni; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur; Orkestra Kuala Lumpur; Max Weber


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.