RUANG, MASA DAN SEBAB AKIBAT DALAM NARATIF FILEM ANIMASI GENG PENGEMBARAAN BERMULA

FATIMAH MUHD SHUKRI, NUR AFIFAH VANITHA ABDULLAH

Abstract


Naratif adalah tunjang sebuah filem. Sebuah naratif filem digerakkan oleh kronologi peristiwa bersandarkan sebab akibat. Filem Geng Pengembaraan Bermula sebagai filem animasi Melayu 3D pertama Malaysia tersenarai dalam Malaysia Book of Records. Filem ini bukan sahaja menerima anugerah di pelbagai festival filem di dalam negara, malah menerima pengikhtirafan dalam acara seumpamanya di luar negara. Namun begitu, naratif filem ini menampakkan kekurangan dari aspek kesinambungan peristiwa yang dipaparkannya. Pengembaraan yang sepatutnya menjadi fokus utama filem kurang jelas disebabkan naratifnya yang longgar. Menggunakan elemen naratif Edward Branigan (1992), makalah ini bertujuan menerangkan tiga elemen naratif iaitu ruang, masa dan sebab akibat (causality) dalam filem Geng Pengembaraan Bermula. Sehubungan itu, dapatan makalah ini disandarkan kepada penyelidikan asas dengan kaedah analisa kandungan untuk menganalisa data. Makalah ini merakamkan dapatan bahawa elemen sebab akibat kurang diperincikan dalam plot cerita. Kehadiran elemen sebab akibat seharusnya berlegar-legar disekeliling watak protagonis. Namun begitu, elemen sebab akibat dalam plot cerita gagal menghubungkaitkan protagonis pada permulaan cerita sehingga ke penamat cerita. Kekurangan ini mengakibatkan penonton keliru dalam mengenalpasti bukan sahaja protagonisnya, malah menimbulkan tanda tanya terhadap rentetan peristiwa dalam filem ini.   Kata kunci: animasi; elemen naratif; filem Melayu; kritikan filem; 3D

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.