PENTERJEMAHAN BUDAYA BUKAN KEBENDAAN DALAM TEKS TERJEMAHAN BAHASA KOREA-BAHASA MELAYU

CHO MINSUNG, PUTERI ROSLINA ABDUL WAHID

Abstract


Penterjemahan merupakan proses peralihan bukan sahaja dua bahasa tetapi juga melibatkan dua budaya yang berbeza. Bahasa mempunyai unsur-unsur yang merangkumi kata, frasa, ayat, dan wacana. Bahasa juga merupakan unsur budaya yang penting bagi melangsungkan komunikasi antara manusia. Penterjemah sering mengalami kekeliruan menggunakan kaedah yang sesuai dalam menterjemah, terutamanya dalam teks-teks yang mempunyai banyak unsur budaya. Budaya terbahagi kepada dua, iaitu budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan. Aixelá (1996:58) menamakan istilah tersebut sebagai “culture-specific items” berdasarkan hakikat bahawa potensi masalah terjemahan akan sentiasa wujud dalam situasi yang konkrit antara dua bahasa dan dua teks. Budaya bukan kebendaan merupakan konsep budaya yang dikenal pasti melalui pemikiran, idea, adat istiadat, pola keluarga, dan bahasa. Dalam makalah ini, penulis akan membicarakan unsur-unsur budaya bukan kebendaan, iaitu unsur kepercayaan, peribahasa, ideologi, etika dan moral, dan undang-undang yang diterjemahkan daripada bahasa Korea ke dalam bahasa Melayu. Teks yang dipilih sebagai korpus kajian ialah terjemahan antologi cerpen yang berjudul Perjalanan ke Sampo. Pengkaji menggabungkan kerangka teoritkal oleh Keesing (1958), Newmark (1988), Venuti (1995), Aixelá (1996) dan Katan (2012) yang diubah suai bagi menganalisis unsur budaya dalam teks antara BK-BM. Kajian ini akan menyumbang pengetahuan baharu kepada dunia tentang penterjemahan antara dua budaya. Terjemahan yang baik memerlukan usaha pemahaman oleh penterjemah agar dapat menelusuri unsur budaya dalam bahasa sumber untuk diungkapkan secara betul dan tepat dalam bahasa sasaran. Penterjemah harus memahami budaya bahasa sumber dan bahasa penerima sebelum menterjemahkan sebarang teks kerana penterjemah bukan sekadar memindahkan kata, tetapi juga perasaan dan nilai budaya penulis ke dalam bahasa lain.

Kata kunci : penterjemahan; budaya bukan kebendaan; item khusus budaya ; Bahasa Korea; Bahasa Melayu


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.