ANALISIS AYAT LEWAH DALAM KARANGAN RESPON TERBUKA PELAJAR SMK BENGKONGAN, KOTA MARUDU, SABAH

WINDDY KINDUO, SAIDATUL NORNIS MAHALI

Abstract


Kajian ini meneliti penulisan ayat lewah dalam Karangan Respon Terbuka oleh pelajar Tingkatan 4 tahap cemerlang di SMK Bengkongan, Kota Marudu, Sabah. Walaupun pelajar Tingkatan 4 telah menjalani proses pembelajaran tatabahasa yang agak lama yakni semenjak sekolah rendah hingga Tingkatan 3, mereka masih melakukan kesalahan bahasa yang ketara dalam penulisan karangan. Justeru, kajian ini dilaksanakan secara bersasar melibatkan 10 orang pelajar cemerlang sebagai sampel kajian. Kajian ini berbentuk kualitatif dan bertujuan untuk menganalisis kekerapan serta pola penggunaan ayat lewah dalam karangan pelajar kategori cemerlang. Semua peserta kajian diminta menghasilkan sebuah karangan berdasarkan soalan berformat peperiksaan sebenar bagi memperoleh data kajian yang autentik. Analisis terhadap pencapaian karangan menunjukkan bahawa purata markah yang diperoleh ialah 58.80 daripada 70 markah penuh, bersamaan 84 peratus. Dari segi pencapaian gred, lima orang pelajar memperoleh gred A+, dua pelajar memperoleh A dan tiga orang pelajar memperoleh gred A-. Hasil analisis data 74 ayat lewah yang dikenal pasti dalam karangan pelajar. Daripada jumlah tersebut, 41 kes melibatkan kelewahan akibat pengulangan makna, manakala 33 kes lagi berpunca daripada penggunaan unsur yang berlebihan dalam ayat. Dapatan ini memperlihatkan bahawa pelajar cemerlang masih cenderung melakukan kesalahan sintaksis terutamanya dalam aspek pembinaan struktur ayat yang efektif dan gramatis. Kajian ini memberi sumbangan dari aspek gambaran dan pemahaman mengenai kekerapan ayat lewah serta pola ayat lewah dalam penulisan karangan pelajar cemerlang di kawasan luar bandar. Kajian ini dapat menjadi panduan dalam merancang dan melaksanakan intervensi pedagogi yang lebih teratur dan berkesan bagi memperkukuh kemahiran membina ayat dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Kata Kunci: Kelewahan bahasa; karangan Bahasa Melayu; kesalahan sintaksis; pelajar cemerlang; pengulangan leksikal


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.