PENDERHAKA ATAU PAHLAWAN? KRIMINALISASI KOLONIAL, HYBRIDITY DAN SUBALTERNITI TERMEDIA DALAM SI BONGKOK TANJUNG PUTERI
Abstract
Drama Si Bongkok Tanjung Puteri (SBTP) karya Shaharom Husain (1961) menampilkan pertentangan antara kuasa tempatan, kepentingan British dan seorang tokoh yang dinamakan "lanun" serta "penderhaka". Berbanding pembacaan yang melihat Si Bongkok terutama sebagai pemberontak yang digerakkan oleh dendam peribadi, artikel ini menghujahkan bahawa kategori "penderhaka", "lanun" dan "pahlawan" dalam SBTP tidak bersifat neutral, sebaliknya dihasilkan melalui hubungan kuasa, legitimasi politik dan wacana kolonial. Dengan menggunakan analisis tekstual interpretatif dan pembacaan dekat yang dikontekstualisasikan secara sejarah, kajian menggabungkan konsep hegemoni Gramsci, hybridity dan mimicry Bhabha, serta subalterniti Spivak sebagai rangkaian analitik. Analisis menunjukkan bahawa pembesar tempatan bukan sekadar meniru penjajah, tetapi beroperasi dalam ruang kuasa hibrid apabila autoriti tradisional disusun semula melalui pengiktirafan, simbol dan kepentingan kolonial. Si Bongkok pula lebih tepat dibaca sebagai figura subaltern yang ambivalen di mana suaranya hadir melalui mediasi dramatik dan melalui tindakan yang telah terlebih dahulu dikriminalisasikan oleh wacana dominan. Dengan menghubungkan teks drama kepada historiografi mutakhir tentang pelabelan “piracy” dalam peluasan imperial di Asia Tenggara, artikel ini menunjukkan bahawa kriminalisasi merupakan teknologi wacana yang membezakan keganasan "sah" negara daripada keganasan "tidak sah" penentang. Sumbangan utama kajian ialah model pembacaan yang menghubungkan persekutuan kolonial-elit tempatan, kriminalisasi wacana, subalterniti termedia dan ambivalensi kepahlawanan. Justeru, SBTP bukan sekadar drama sejarah tentang seorang lanun, tetapi tapak kritikal yang mendestabilkan binari penderhaka/pahlawan dan menyoal siapa yang memiliki kuasa untuk menamakan sesuatu bentuk penentangan sebagai jenayah.
Kata kunci: pascakolonialisme; kriminalisasi kolonial; subaltern; hegemoni; hybridity
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.