REPRESENTASI FITUR SEGMEN KONSONAN BAHASA KERINCI BERDASARKAN TEORI FONOLOGI AUTOSEGMENTAL

NUR FARAHKHANNA MOHD RUSLI, ADI YASRAN ABDUL AZIZ

Abstract


Kajian ini bertujuan menjelaskan representasi fitur segmen konsonan bahasa Kerinci dialek Semerap berdasarkan teori fonologi autosegmental. Data diperoleh melalui kaedah kepustakaan dan lapangan yang terdiri daripada pemerhatian dan temu bual dengan bantuan instrumen seperti buku catatan, borang maklum balas dan alat perakam. Informan kajian terdiri daripada 10 orang penutur Kerinci dialek Semerap berumur 50 tahun ke atas yang tinggal di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. Data yang diperoleh hasil daripada pemerhatian penyelidik di lapangan telah ditranskripsi dalam bentuk ejaan, fonemik dan fonetik untuk mengenal pasti inventori fonem konsonan yang terdapat dalam bahasa Kerinci. Konsonan yang telah dikenal pasti dianalisis dengan menggunakan geometri fitur model Halle (1992) bagi merepresentasikan fitur distingtif yang dimiliki oleh setiap konsonan. Hasil kajian menunjukkan bahasa Kerinci mempunyai 18 segmen konsonan, iaitu konsonan hentian [p, b, t, d, k, ɡ], konsonan afrikat [ʧ, ʤ], konsonan frikatif [s, h], konsonan nasal [m, n, ɲ, ŋ], konsonan likuida [l, r] dan konsonan geluncuran [w,j]. Teori fonologi  autosegmental juga menunjukkan geometri fitur dapat merepresentasikan suatu set fitur distingitf setiap konsonan dalam bahasa Kerinci dalam bentuk rajah pohon atau nodus konfigurasi berhierarki. Selain itu, dapatan juga menunjukkan penyebaran fonem konsonan bahasa Kerinci yang boleh menduduki posisi onset dan koda kata, manakal terdapat juga konsonan yang tidak dapat menduduki lingkungan tersebut disebabkan pematuhan terhadap rumus-rumus fonologi. Kajian ini diharapkan dapat memberi penilaian semula terhadap fitur distingtif konsonan bahasa Kerinci dialek Semerap berdasarkan teori fonologi autosegmental.

Kata kunci: Segmen Bunyi; Konsonan; Bahasa Kerinci; Representasi Fitur; Fonologi Autosegmental.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.