PELESTARIAN ADAT ISTIADAT MENYEMBAH KEMBALI BAUR DI NEGERI PERAK

MUHAMAD ADHA ABD JALIL, ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA, ZULISKANDAR RAMLI

Abstract


Adat istiadat diraja merupakan warisan budaya tidak ketara yang membentuk identiti, legitimasi, dan kesinambungan sistem pemerintahan Kesultanan Melayu. Negeri Perak, sebagai salah satu negeri beraja tertua di Malaysia, terus memelihara pelbagai adat yang diwarisi secara turun-temurun. Salah satu yang paling signifikan ialah Istiadat Menyembah Kembali Baur, iaitu upacara pemulangan keris kuasa oleh waris pembesar negeri kepada Raja Pemerintah sebagai simbol kesetiaan dan ketaatan terhadap takhta. Kajian ini bertujuan meneliti pelestarian tatacara dan falsafah yang mendasari istiadat tersebut sebagai warisan budaya tidak ketara, sekaligus menzahirkan hubungan simbolik antara kedaulatan raja dan kesetiaan pembesar negeri. Penyelidikan ini juga mengisi kekurangan dalam dokumentasi etnografi serta pemodelan pelestarian adat diraja, selain menawarkan perspektif baharu mengenai interaksi antara ritual kuasa dan kelestarian budaya dalam konteks pemerintahan Melayu kontemporari. Berlandaskan teori liminaliti Victor Turner dan antropologi interpretatif Clifford Geertz, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif etnografi melalui temu bual separa berstruktur, pemerhatian turut serta, dan analisis dokumen. Data dianalisis secara interpretatif menggunakan perisian NVivo untuk mengenal pasti tema dan pola simbolik. Dapatan menunjukkan bahawa istiadat ini berfungsi sebagai mekanisme legitimasi politik dan moral, manakala simbolisme peralatan seperti baur, keris iringan, dan syiling perak mencerminkan falsafah kosmologi beraja Melayu berasaskan konsep daulat dan taat setia. Kajian ini mencadangkan Model Pelestarian Istiadat Menyembah Kembali Baur berasaskan dokumentasi sistematik, pendidikan budaya komuniti, dan penginstitusian adat dalam dasar negeri, selaras dengan SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari (Target 11.4), bagi memelihara dan melindungi warisan budaya yang bernilai tinggi.

Kata kunci: Adat Istiadat Diraja; Kesultanan Perak; Baur; Bakal Sultan; Orang Besar Perak


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.