HUBUNGAN SIKAP PELAJAR ANTARABANGSA DENGAN KEBERKESANAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

NASROL HADI AHMAD SHUKERI, CHE HASNIAH YA’ACOB, MOHD AMMYRUL ASHRAF SAIRAN

Abstract


Pemerkasaan Bahasa melalui Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi 2023-2030 merupakan kesinambungan kepada dasar terdahulu. Pelan ini menetapkan kewajipan kepada pelajar antarabangsa untuk mengikuti kursus bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada komponen wajib dalam program pengajian mereka. Namun begitu, pencapaian pelajar antarabangsa dalam  kursus ini khususnya dalam era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat, masih berada pada tahap yang belum memuaskan. Justeru, kajian ini dijalankan bagi meneliti sejauh mana sikap pelajar antarabangsa mempengaruhi penguasaan mereka terhadap kursus bahasa Melayu. Pendekatan kuantitatif digunakan dalam kajian ini melalui pengedaran soal selidik melalui platform Google Form. Teknik ini dipilih kerana lebih praktikal dan memudahkan proses pengumpulan serta penganalisisan data oleh penyelidik. Hasil analisis data menunjukkan bahawa secara umum, pelajar mempunyai pandangan dan  sikap yang positif terhadap kursus bahasa Melayu. Sementara itu, dari segi pengaruh sikap terhadap motivasi, dapatan kajian memperlihatkan bahawa motivasi instrumental merupakan dorongan utama dalam kalangan pelajar, meskipun motivasi integratif turut menyumbang kepada pemeliharaan minat mereka terhadap pembelajaran bahasa ini. Kesimpulannya, kajian ini membuka peluang kepada kajian seterusnya yang berkaitan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa. Melalui usaha berterusan serta penambahbaikan yang berasaskan kepada data empirikal, mutu pendidikan bahasa Melayu untuk pelajar antarabangsa berpotensi untuk terus diperkasa dan dimantapkan.

Kata kunci: Sikap; Motivasi; Bahasa Melayu; Pelajar Antarabangsa; Pembelajaran.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.